Alor Gajah: Empat lelaki iaitu dua pemandu lori, kelindan dan pemandu gantian bas ekspres ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini, semalam.
Dalam operasi bermula jam 9 pagi, polis turut menemui beberapa tiub dipercayai mengandungi dadah disorokkan di bawah tempat duduk pemandu.
Jurucakap polis berkata, seorang daripada pemandu lori terbabit panik apabila anggota polis melakukan pemeriksaan dalam lorinya sebelum dadah dipercayai jenis syabu ditemui.
“Ujian air kencing terhadap tiga lagi suspek mendapati mereka positif dadah. Keempat-empat mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pemangku Ketua Polis Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.
-Metro