Sukan Hari Ini

FAM: Program latihan tingkatkan kualiti pengadil

fam

PERSATUAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melancarkan program latihan untuk pengadil-pengadil tempatan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pengadilan bola sepak di negara ini.

Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah persatuan itu akan mengenal pasti pengadil yang perlu mengikut latihan itu yang akan diadakan dalam negara.

“FAM akan bekerjasama dengan seorang bekas pengadil antarabangsa yang kini pengerusi pembangunan pengadil di Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bagi menjalankan latihan itu,” titah baginda kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 di sini, hari ini.

Tengku Abdullah bertitah FAM berharap usaha itu dapat melahirkan pengadil berkualiti dalam tempoh empat tahun akan datang selain melahirkan  sekurang-kurangnya satu atau dua pengadil yang boleh dipilih sebagai pengadil Piala Dunia 2018 di Rusia kelak.

Ditanya mengenai peluang skuad Harimau Malaya pada temasya Sukan Asia 2014, baginda berharap skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee dapat mempamerkan permainan yang baik sekali gus menghasilkan keputusan memberangsangkan.

“Harapan besar tetapi realitinya mereka di dalam kumpulan yang sukar. Kita harap mereka dapat mempamerkan  permainan yang baik…kita doakan yang terbaik untuk mereka,” titah baginda.

Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Arab Saudi dan Laos dalam Kumpulan A pada temasya itu.

Sukan Asia 2014 akan diadakan di Incheon, Korea Selatan dari 14 September hingga 3 Oktober depan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");