Jenayah

Gempur habis-habisan

rokok haram

Kuala Lumpur: Sepuluh premis terdiri daripada kedai runcit di sekitar Jalan Chow Kit dan Kampung Baru di sini, digempur pasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selepas dikesan menjadi ‘sarang’ rokok seludup.

Semua premis itu dikatakan menjadi pusat membekalkan rokok seludup di kebanyakan kedai runcit di sekitar Lembah Klang terutama yang dimiliki warga asing. Op Outlet berkenaan yang bermula jam 2 petang dan berakhir beberapa jam kemudian dijalankan dengan kerjasama anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Lima peniaga ditahan kerana dikesan menjual rokok seludup di premis masing-masing.

Antara jenama rokok yang dirampas termasuk John, Luffman, Gudang Garam, LA, Pine dan Canyon.

Premis berkenaan ialah di Jalan Raja Alang , Lorong Raja Bot, Jalan Sri Amr Off Jalan Raja Laut dan Jalan Dewan Sulaiman Satu. Kebanyakan peniaga terbabit terkejut sebaik didatangi penguat kuasa KDRM dan cuba menyembunyikan rokok seludup yang dimiliki namun gagal kerana pasukan berkenaan sudah menjalankan intipan terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan.

Semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan mereka yang terbabit boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Op Outlet dilancar pada 5 Mac lalu dengan memberi tumpuan penguatkuasaan kepada penjualan rokok seludup.

Serbuan yang dijalankan untuk melumpuhkan rangkaian pengedaran rokok seludup daripada pengedar kepada peruncit.

Ini berikutan, selain daripada tidak membayar cukai, rokok seludup lebih berisiko terhadap kesihatan orang ramai. Rokok seludup juga dilaporkan mempunyai lima kali ganda kandungan kadmium, bahan kimia yang digunakan untuk membuat bateri yang boleh menyebabkan kanser, merosakkan buah pinggang dan lapisan salur darah arteri.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mengurangkan kadar nikotin, tar dan karbon monoksida dalam rokok yang dijual di negara ini secara berperingkat.

Kadar nikotin 1.5 miligram (mg) bagi setiap rokok ketika ini dikurangkan kepada 1.25mg, kadar tar dikurangkan daripada 20mg kepada 15mg, manakala karbon monoksida kepada 15mg.

Kawalan kandungan ini menunjukkan beza risiko antara rokok seludup yang meningkat permintaan kerana harganya murah tetapi lebih berbahaya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");