Sukan Hari Ini

Giliran Shawky buat hal

shawky

SELEPAS penyerang kontroversi Ghana, Prince Tagoe menamatkan teka-teki di sebalik kehilangannya, kali ini giliran pemain import Mesir, Mohamed Shawky Aly pula ‘buat hal’ apabila enggan beraksi bersama Kelantan dalam kempen Piala Malaysia, bermula Rabu ini.

Penjaring terbanyak The Red Warriors dalam Liga Super itu sepatutnya menyertai latihan pada pertengahan bulan lalu namun gagal berbuat demikian sehingga semalam dan dikhabarkan tidak mahu kembali ke pangkuan pasukannya berikutan masalah keluarga.

Kali terakhir pemain yang pernah menyarung jersi Middlesbrough dalam Liga Perdana Inggeris musim 2007 hingga 2010 itu beraksi bersama Kelantan ialah ketika pasukannya tewas 0-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), 20 Jun lalu.

Ketiadaan pemain tengah versatil itu memberi tamparan hebat kepada Kelantan yang akan turun berdepan JDT, yang dibimbing Bojan Hodak pada aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia kumpulan C di Larkin, dua hari lagi.

Ini diperkukuhkan lagi apabila satu sumber dalaman memberitahu, pemain import berkenaan boleh dikatakan 90 peratus tidak akan kembali menyertai Kelantan untuk menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.

“Masa kian suntuk buat Kelantan, hanya ada tiga hari lagi sebelum bertemu JDT. Pasukan akan berlepas ke Johor Bahru Selasa (esok) ini sedangkan bayang-bayang Mohamed Shawky pun tak nampak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Mohamed Shawky bersama pasukannya.

Azman yang merupakan pengurus pasukan bagaimana pun memberitahu berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Kafa boleh mengambil tindakan ke atas pemain berusia 33 tahun itu.

“Tindakan itu seperti denda atau pun penggantungan ke atas Mohamed Shawky berdasarkan terma-terma yang terkandung di dalam kontrak pemain berkenaan. Kita ada prosedur tertentu untuk menangani masalah ini.

“Mohamed Shawky perlu berdepan dengan Kafa, tidak mudah bagi dia melepaskan diri begitu sahaja. Lagi pun Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dia ada dengan kita. Ini pasti akan menyulitkan dia untuk bermain dengan pasukan lain pada masa depan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");