Laporan Eksklusif

Hanya boleh masuk lokasi nahas beberapa kali

MH17

SEPANG – Pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diamanahkan menjalankan misi mencari dan siasatan nahas MH17 hanya sempat memasuki Donestk, timur Ukraine dua atau tiga kali sahaja, sepanjang 10 hari mereka berada di sana.

Ketua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Deputi Superitendan Law Pang Tai berkata disebabkan kawasan itu masih tegang, pasukan Malaysia juga terpaksa menunggu giliran mereka, selain pasukan dari Belanda dan Ausralia, untuk memasuki lokasi tersebut dan menjalankan operasinya.

Katanya, pasukan Malaysia juga hanya dibenarkan berada di lokasi itu, paling lama dalam lingkungan tiga jam pada sesuatu masa.

“Paling lama dua hingga tiga jam. Sebenarnya tugas itu sangat mencabar, ada juga kedengaran bunyi bom, tembak menembak tetapi kita selamat tanpa sebarang kejadian,” kata beliau yang tiba bersama 21 anggota FRU dan enam anggota VAT69, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pasukan tersebut yang merupakan kumpulan pertama tiba di tanah air disambut Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun, selain anggota keluarga pasukan berkenaan.

Kumpulan kedua terdiri daripada 11 anggota forensik PDRM pula dijangka tiba petang ini, manakala kumpulan terakhir yang turut disertai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka tiba Selasa ini.

Sementara itu, anggota VAT69 Sarjan Mohd Zulkifli Ali berkata, pasukan Malaysia juga tidak dibenarkan membawa senjata ke lokasi tersebut dan kedengaran bunyi tembakan meriam antara tentera Ukraine dan puak pemisah.

“Misi utama kami ialah mencari bukti dan membantu pasukan forensik. Kami tidak dibenarkan membawa senjata, sebab ia tempat orang, masing tegang.

“Lagipun kita tak boleh tetapkan masa kita sendiri untuk memasuki lokasi itu. Mereka yang akan tetapkan. Ia bergantung kepada keadaan, situasi, krisis di sana,” katanya sambil menambah keselamatan sentiasa diutamakan.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – dipercayai ditembak jatuh namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");