Jenayah

‘Hanya ingat datuk lumpuh’

terbakar

Shah Alam: “Sebaik melihat api semakin marak membakar rumah jiran, saya mula panik dan ketika itu saya hanya terfikir membawa datuk yang lumpuh keluar dari rumah,” kata M Divashinipriya, 18, mengenai kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Jalan Batu 3, di sini, petang semalam.

Dalam kebakaran jam 2.30 petang itu menyebabkan tiga rumah yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu musnah menyebabkan tiga keluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Divashinipriya, ketika kejadian dia berehat di dalam bilik sebelum terdengar jiran menjerit berlaku kebakaran sebelum dia bergegas keluar.

“Saya dapati hampir separuh rumah jiran musnah dijilat api. Saya cemas kerana rumah kami bersebelahan dan khuatir api merebak ke rumah saya kerana angin kencang ketika kejadian.

“Saya hanya memikirkan keselamatan datuk kerana dia tidak mampu bergerak sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu saudara dan meminta bantuannya memindahkan datuk ke tempat selamat,” katanya, semalam.

Menurut penuntut Diploma Seni Kulinari dari Management & Science University (MSU) itu, semua barang dalam rumahnya hangus dijilat api termasuk buku dan nota pengajiannya kerana api begitu marak dan membahayakan nyawanya jika masuk ke rumah.

Seorang lagi mangsa, M Murugesu, 43, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di Seksyen 26 dan menerima panggilan daripada isterinya yang ketika itu menjalani kursus menjahit di Seksyen 23.

“Saya bergegas pulang selepas menerima berita buruk itu dan ketika tiba di rumah api sudah menjilat bumbung.

“Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku memandangkan saya sudah tinggal di rumah ini sejak kecil. Namun nasib baik semua ahli keluarga selamat dan tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Mohd Khairi Daud berkata, pihak menerima panggilan mengenai kebakaran itu jam 2.37 dan bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian.

“Sebanyak lima jentera dengan kekuatan 22 anggota dari Balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya mengawal api 15 minit kemudian dan menyelamatkan dua lagi rumah,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");