Perak Hari Ini

Jabatan Kimia Sahkan Sampel Tulang Haiwan Di Kolam Ikan Patin Di Perak Tulang Babi

Hasil ujian yang dijalankan Jabatan Kimia di Selangor terhadap sampel tulang haiwan yang ditemui di sebuah kolam ternakan ikan patin di Jalan Ipoh-Batu Gajah bulan lalu disahkan tulang babi.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, laporan itu diterima daripada jabatan terbabit pada 8 Ogos lalu.

“Sampel tulang telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan DNA khinzir pada 10 Julai lalu.

“Selain itu, laporan pemantauan dari daerah-daerah lain turut diterima dan dihantar kepada Ibu Pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya.

“Berdasarkan laporan DNA yang diterima pada 8 Ogos lalu, analisa ke atas sampel tulang yang dihantar membuktikan ianya adalah bangkai khinzir,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis interaksi dan ramah mesra Aidilfitri Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bersama warga Jabatan Perikanan Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun, berkata pihaknya tidak dapat mengesan pemilik kolam terbabit yang dipercayai sudah menghilangkan diri.

Hasil pemantauan pihaknya juga mendapati kawasan kolam sudah kering dan ditinggalkan, tegasnya lagi.

Pada 7 Julai lalu, laman media sosial tempatan digemparkan dengan penemuan dipercayai tulang dan tengkorak babi dalam sebuah kolam ikan patin yang terletak di Jalan Ipoh-Batu Gajah.

Pendedahan yang dilakukan oleh pemilik akaun Facebook bernama Khirul Adnan Hamid itu menyatakan rahsia tersebut terbongkar selepas kolam ternakan itu pecah dan menjadi tumpuan wargakota Ipoh.

Apabila kolam itu kering, rahsia yang selama ini tersimpan bongkar apabila tulang dan tengkorak babi ditemui di dasar kolam terbabit.

Khirul Adnan turut menyertakan beberapa keping gambar bagi menyokong dakwaannya itu.

Ketika ditanya mengenai kesahihan dakwaan itu, beliau berkata secara logik tidak mungkin bangkai seekor lembu diletakkan kerana harga yang mahal dan tidak belum pernah dilakukan sebelum ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan pengalaman, kebiasaannya bangkai babi atau kuda yang diletakkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");