Membawang Hari Ini

Jiwa patriotik Sudirman!

sudirman

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

MENGIMBAU detik 22 Februari 1992 iaitu 22 tahun lalu, kita dikejutkan dengan kehilangan sebutir bintang seni negara.

Pergi meninggalkan kita ketika usianya 37 tahun, sehingga kini penghibur nombor satu Asia ini kekal terpahat di hati walaupun sudah melebihi dua dekad!

Bukan sahaja di kalangan mereka yang membesar ketika zaman kegemilangannya, malah namanya bukan lagi asing di seluruh generasi masyarakat.

Biarpun jasadnya sudah lama tiada, namun nostalgia yang ditinggalkan sukar untuk ditandingi mana-mana insan seni lain.

Dan ternyata sehingga kini, tiada insan seni lain yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham baik dalam bidang nyanyian mahupun semangat cintakan negara.

Pemergiannya tidak membawa kesemua kenangan yang ada, malah dia turut meninggalkan ‘sesuatu’ untuk kita sebagai renungan, iktibar, tatapan dan batasan.

Salah satu daripada ‘khazanah’ yang ditinggalkan adalah menerusi lagu-lagunya yang kekal bernafas sehingga ke hari ini.

Lihat sahajalah lagu-lagu patriotiknya seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan, jika diteliti bait-bait lagu itu, amat jelas menunjukkan rasa cintakan negara dan semangat patriotik yang kuat di dalam dirinya.

Kekal meletakkan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di dalam lipatan memori negara, Memori Chow Kit Road yang telah berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak 29 Ogos lalu, jelas mengimbau kembali nostalgia lagenda seni ini.

Malah, lirik lagu dendangannya, Warisan turut dipilih sebagai tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 ‘Di sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

Ia sekaligus membuktikan, aura anak jati Temerloh, Pahang, ini tidak terkubur bersama jasadnya!

Penuh rasa cinta negara

Menyelak sejarah pembabitan seni sepanjang penglibatannya, beliau sempat merakamkan lebih 10 album dari pelbagai genre iaitu Teriring Doa (1976), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980), Lagu Anak Desa (1980), Lagu Dari Kota (1981), Twinkle Twinkle Little Star (1981), Abadi (1982), Lagu Cinta (1982), Images (1983), Orang Baru (1984), Lagu Dari Sebuah Bilik (1984), Orang Kampung (1986), Kul it! (1986) dan Asia’s No. 1 Performer (1989)

Album Abadi merupakan satu-satunya album patriotik yang dihasilkan demi rasa cintanya terhadap negara.

Malah, beliau pernah mencatat pada kulit album dalam bentuk piring hitam itu bahawa syarikat rakaman, EMI dan penerbitnya, S Atan, tidak yakin untuk menerbitkan album berkenaan.

Menurutnya, kegusaran itu mula timbul di pihak rakaman kerana bimbang masyarakat tidak dapat menerima konsep berkenaan.

Namun demi rasa cinta kepada Malaysia, biarlah ada satu album patriotik untuk seumur hidupnya.

Menerusi album itu terselit lagu-lagu termasuk, Warisan, Di Bumi Bertuah, 8 Ke 4 ¼ (Punch Card), Kehadiranku, Sabarlah Menanti, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Walaupun pada mulanya album itu tidak mendapat sambutan sebagaimana album komersialnya yang lain, namun siapa sangka, ianya kekal terpahat di hati kita sehingga kini.

Malah, setiap tahun ketika negara menyambut kemerdekaan, itulah antara lagu-lagu yang sering menghiasi corong-corong radio.

Selain lagu-lagu patriotik, beliau juga turut mendedikasikan lagu, Bapak, kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dan suara bangga pada negara, agama dan bangsa menerusi lagu, Radio Malaysia.

Menerusi album Kul It, lagu One Thousand Million Smiles, dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah.

Menariknya, lagu yang mengisahkan perpaduan kaum dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau juga turut mempersembahkan lagu yang dituju khas kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama.

Pada April 1983, Sudirman pernah memberitahu bahawa Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila dia membuka mulut meminta kebenaran untuk cipta lagu untuknya.

“Kata Mama, Tan Sri P. Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi,” kata beliau.

Konsert di Chow Kit Road

Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama apabila disenaraikan dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Beliau berjaya memukau hampir 100,000 warga kota ketika itu untuk berpusu-pusu membanjiri jalan berkenaan.

Antara lagu yang didendangkan beliau termasuk Chow Kit Road! Chow Kit Road! dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

Ketika itu, Jalan Chow Kit adalah tempat untuk golongan marhaen dan menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminatnya.

Difahamkan, konsert jalanan secara percuma yang mendapat sambutan hebat itu adalah tanda terima kasih kepada peminatnya yang menyokong selama ini.

Malah, dia turut mengakui, peminatnya adalah di kalangan mereka yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk konsert eksklusif.

Walaupun ia hanyalah konsert jalanan biasa, namun Sudirman berjaya menyedarkan kita bahawa dialah penghibur yang bukan terlahir dalam golongan materialistik!

Setelah memori 1986 itu berlalu dan hanya terselit dalam lipatan kenangan peminat di era itu, kini ianya diharapkan dapat mengembalikan nostalgia itu menerusi Konsert Chow Kit Road 2.0 yang dikenali sebagai ‘Memori Chow Kit Road’.

Mula berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos (hari ini), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tema yang dipetik dari lagu Warisan dan lokasi yang dipilih diharapkan memberikan kesan mendalam dan lahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati semua rakyat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");