Berita Hari Ini

Kajian dapati rakyat Malaysia puas hati cara kerajaan tangani insiden MH17

MH17 DAY OF MOURNING

KUALA LUMPUR: Ketika negara berkabung sebagai menghormati mangsa tragedi MH17, rata-rata rakyat Malaysia menyatakan rasa puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan segala urusan mengenainya.

Mereka juga menyuarakan rasa yakin terhadap syarikat penerbangan Malaysia, MAS.

Ini adalah antara hasil kajian bagi mengukur perasaan serta tanggapan umum berhubung tragedi MH17 yang dijalankan oleh Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dan pembantu penyelidiknya, Azrul Hisyam Wakichan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Mereka menggunakan sampel rawak 1,003 responden daripada pelbagai kaum, kumpulan umur serta latar belakang pendidikan.

Bernama diberitahu kajian yang dijalankan dari 31 Julai hingga 3 Ogos itu mendapati 96 peratus responden turut berkongsi dukacita dan bersedia menghulur bantuan kepada mereka yang terlibat.

Berbanding tragedi MH370 yang berlaku empat bulan sebelumnya, rakyat Malaysia kali ini menghargai ketelusan yang ditunjukkan kerajaan serta kepantasan maklumat yang disebarkan.

Sejumlah 92 peratus responden bersetuju kerajaan telus dalam menangani tragedi ini sementara 94 peratus responden bersetuju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan melakukan kerja yang baik.

Pesawat malang MH17 dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh. Kebanyakan mangsa iaitu 193 orang adalah rakyat Belanda sementara rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat itu seramai 43 orang termasuk 15 anak kapal.

Kebanyakan responden turut berpuas hati tentang bagaimana negara lain menghulurkan bantuan kepada kerajaan Malaysia.

Kajian Dr Syed Arabi turut mendapati sejak tragedi 17 Julai itu, rakyat Malaysia begitu berminat untuk mencari maklumat apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat malang itu.

Kebanyakan maklumat yang mereka peroleh adalah daripada media arus perdana tempatan.

Sejumlah 43 peratus responden bersetuju mereka meletakkan kepercayaan mereka ke atas media arus perdana untuk mendapatkan maklumat berhubung tragedi MH17 sementara 32 peratus mempercayai media sosial.

Di samping itu, 80 peratus responden berkata mereka masih yakin dengan MAS di sebalik beberapa kes yang melibatkan rekod keselamatan sejak kebelakangan ini.

Sementara 82 peratus berkata insiden kedua yang melibatkan pesawat syarikat penerbangan itu menjejaskan imej Malaysia.

Dr Syed Arabi, mantan rektor UIAM sebelum ini menjalankan beberapa kajian mengenai politik serta perkembangan semasa yang memberi kesan ke atas rakyat Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");