Jenayah

Kediaman kena ‘Spray’ merah

kena spray

PARIT BUNTAR – Kira-kira 120 rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Taman Sri Semarak, di sini dikenakan tindakan ‘spray’ merah oleh anggota Bahagian Perumahan Awam (BPA) Negeri Perak akibat kegagalan pemiliknya menyelesaikan tunggakan sewa bulanan untuk tempoh masa lama.

Seramai 50 pemilik rumah di RPA Taman Sri Semarak, di sini panik apabila mendapati rumah RPA yang diperolehi melalui perjanjian sewa beli dikenakan tindakan spray merah.
Keadaan itu menimbulkan ketidakpuasan hati pemilik rumah dan mahu perbincangan diadakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Kelmarin, satu pertemuan diadakan di antara pegawai dari BPA Perak dan kesemua pemilik rumah RPA Taman Sri Semarak di Dewan Terbuka Taman Sri Semarak, di sini bagi mengutip wang tunggakan sewa ditanggung mereka.

Pertemuan kedua pihak yang disertai Penghulu Mukim Parit Buntar, Ahmad Shah Hamid dan polis berlangsung dalam suasana aman meskipun ada pemilik rumah tidak puas hati terhadap tindakan BPA Perak.

Seorang anak pemilik, Jackson David, 35, berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri meskipun satu sesi perbincangan udah diadakan sejurus surat notis berwarna merah diterima.

Menurutnya, surat arahan supaya menjelaskan tunggakan itu diterima penduduk pada 7 Ogos lalu.

“Kami mengakui ada menanggung tunggakan sewa rumah, namun tindakan spray berwarna merah tidak wajar dilakukan pada rumah kami.

“Ia seolah-olah menggambarkan pendekatan kutip hutang ala ah long diguna pakai dan kami kesal tiada perbincangan menyeluruh dibuat melibatkan seluruh penduduk sebelum itu,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Taman Sri Semarak, di sini.

Seorang lagi penduduk, M Rukumani, 57, menyatakan jumlah tunggakannya hanya berjumlah RM8,000 dan kadar bulanan sebanyak RM124 masih terus dibayar.

“Bukannya kami tidak bayar langsung, cuma ada tunggakan sahaja tetapi mereka tak patut buat macam ini kepada kami.

“Kami tidak mahu kehilangan rumah dan penyelesaian adil perlu dicapai antara kedua-dua pihak,” katanya.

Bagi pemilik hanya dikenali Razali, 42, berkata, tempoh diberikan oleh BPA terlalu singkat iaitu sebulan dan jika tunggakan tidak diselesaikan, pihaknya bakal diarahkan berpindah.

Menurutnya, jumlah tunggakan RM7,000 tidak mampu untuk dibayar sekali gus kerana keluarganya bukan berpendapatan tinggi.

“Saya cuma bekerja buruh dan mana boleh dalam tempoh sebulan untuk bayar semua hutang yang tertunggak itu.

“Penduduk di sini memohon kerajaan negeri menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan penduduk berpendapatan rendah,” katanya.

Tunggakan sewa melebihi RM10,000

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan itu dilaksanakan ke atas setiap rumah pemilik yang dikenal pasti liat membayar kadar sewa beli bulanan berjumlah RM124 untuk tempoh masa lama.

Menurutnya, tindakan ‘spray’ merah bukan perkara luar biasa dilakukan BPA memandangkan operasi memungut tunggakan sewa rumah RPA dilaksanakan di seluruh Perak.
“Bayangkan, majoriti pemilik rumah RPA yang dikenakan tindakan spray menanggung tunggakan sangat banyak sehingga ada yang melebihi RM10,000.

“Dakwaan tindakan spray merah dianggap melampau juga tidak benar memandangkan pihak BPA sudah menghantar tiga kali notis amaran terhadap pemilik rumah termasuk notis amaran terakhir perlaksanaan tindakan ‘spray’ merah jik masih berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan BPA melaksanakan tindakan ‘spray’ merah pada 120 rumah di RPA Taman Sri Semarak melalui satu operasi dijalankan sejak 18 Ogos lalu.

Alasan tak diterima

Saarani berkata, pemilik rumah perlu sedar keputusan kerajaan negeri melaksanakan operasi kutipan tunggakan sewa RPA di seluruh negeri bertujuan menyelesaikan hutang pinjaman kewangan daripada Kerajaan Pusat yang membiayai projek itu.

Menurutnya, laporan Jabatan Audit Negara sebelum ini mempersoalkan kegagalan BPA negeri Perak mencapai hasil kutipan sewa RPA sebagaimana jumlah disasarkan dan siasatan mendapati kadar tunggakan sewa yang banyak daripada pemilik liat menyumbang ke arah masalah itu.

“Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab menyelesaikan pinjaman pembiayaan projek RPA dan mampu dicapai jika kesemua pemilik rumah RPA komited dalam menyelesaikan kadar sewa beli ditetapkan.

“Pemilik rumah RPA seharusnya tidak memberi alasan akibat kegagalan menyelesaikan tunggakan sewa rumah memandangkan kadar sewa bulanan dikenakan sangat rendah, manakala tempoh tunggakan bayaran melebihi tiga tahun,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan pihak BPA mendapati majoriti pemilik rumah RPA kini merupakan golongan berkemampuan, mampu memiliki kereta malah ada antara mereka mempunyai aset lain seperti rumah dan hartanah.

Jelasnya, kesemua pemilik RPA yang dikenakan tindakan itu diberi tempoh masa singkat untuk menyelesaikan jumlah tunggakan sewa atau bakal berhadapan tindakan lebih tegas seperti arahan pengosongan rumah.

“Kesemua pemilik RPA sebenarnya diberi tempoh masa cukup lama untuk menyelesaikan tunggakan sewa berikutan ada yang gagal membuat pembayaran sejak rumah diserahkan kepada mereka.

“Diharap pemilik terlibat lebih bertanggungjawab dan mensyukuri inisiatif kerajaan negeri membantu mereka dengan cara melunaskan hutang tunggakan sewa dengan kadar segera,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");