Jenayah

Kena tipu sindiket gores dan menang

tuntutan gores

KUANTAN – Pendedahan media mengenai sindiket gores dan menang seperti mencurah air di daun keladi kerana masih ramai yang tertipu dengan sindiket itu sehingga sanggup mengeluarkan wang dalam sekelip mata.

Jika sebelum ini sudah ramai yang menjadi mangsa tetapi sindiket berkenaan tidak pernah serik malah mereka seperti kebal dengan undang-undang dan boleh menukar nama syarikat jika (rasa tidak selamat dan diawasi).

Kelmarin, sebanyak 19 kes daripada 31 kes membabitkan tuntutan berkaitan syarikat gores dan menang di Mahkamah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia dan mangsa kebanyakan mangsa adalah warga emas.

Hasil daripada pertemuan bersama mangsa, mereka mendakwa cara pekerja gores dan menang adalah sama iaitu mengejar mangsa yang disasarkan dan memujuk untuk memegang kad gores.

Lebih biadab lagi ada yang terus memasuki kenderaan dan duduk di sebelah mangsa serta memaksa mangsa menunjukkan bank yang mempunyai simpanan wang.

Ada mangsa yang ditemui mendakwa mereka seolah-olah dipukau selepas pekerja syarikat gores dan menang memasuki kenderaan dan memulakan perbualan.

Justeru, beberapa mangsa terbabit turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mempedulikan pekerja yang membawa kad dan menawarkan hadiah menarik.

Mangsa juga mengingatkan orang ramai bahawa sindiket ini akan berkumpul di kawasan yang menjadi tumpuan terutama pasar raya dan mereka dikatakan tidak mempunyai lokasi tetap seperti memasang meja seperti syarikat berlesen lain.

Hilang RM20,000 dalam sekelip mata

Abdul Rahman, (bukan nama sebenar), 67, kecewa kerana kehilangan sejumlah RM20,000 dalam sekelip mata selepas bertemu dengan dua lelaki yang memaklumkan bahawa dia menang cabutan bertuah.

Paling menyedihkan wang berkenaan adalah amanat ibunya yang kini sudah berusia 90 tahun dan mahu dia menyimpan wang berkenaan untuk digunakan menunaikan haji jika sampai waktunya.

Abdul Rahman menjadi mangsa sindiket gores dan menang selepas menguruskan bil air dan ketika itu berada di kawasan letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jun lalu.

Katanya, dia didatangi dua lelaki memujuk untuk memegang satu unit ‘benda’ bulat bermagnet sambil memberitahu bahawa dia berjaya memenangi hadiah bertuah.

“Sebelum ni saya sudah tahu gores dan menang menggunakan kad, jadi saya tidak terfikir mereka ubah taktik menggunakan magnet,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia dikaburi dengan kata-kata bahawa akan menerima kereta Toyota Camry jika membuat bayaran RM20,000 tetapi memberi amaran awal supaya tidak memaklumkan kepada orang lain.

Katanya, pekerja sindiket itu tanpa segan mengikutnya pulang ke rumah untuk mengambil buku akaun Amanah saham bumiputera (ASB) sebelum mengeluarkannya di sebuah bank di Taman Tas.

Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di pejabat sindiket berkenaan di Jalan Haji Ahmad, dia tidak sanggup mengeluarkan wang dan mahu melangkah keluar dengan segera.

“Malangnya mereka menarik tangan dan memaksa saya untuk mengeluarkan wang terbabit sebelum mengunci pintu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia sedih kerana selepas itu hanya menerima lima barang yang langsung tidak bernilai iaitu dua tilam, ketuhar, dapur masak dan mesin pengurut kaki.

Menurutnya, dia kesal kerana tidak berfikir panjang dan turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dan tidak menoleh kepada individu yang mendakwa boleh memberi hadiah istimewa atau lumayan di tempat awam.

Malang berganda bagi mekanik yang mahu dikenali sebagai Lee, 40-an kerana anggota sindiket itu terlebih dahulu ‘memesongkan’ tarikh penerimaan wang pada resit penerimaan wang dari mangsa.

Justeru, katanya, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tidak boleh mengeluarkan perintah kerana tarikh terima yang ditulis pada resit ialah 9 Oktober 2014.

Bagaimanapun, mangsa masih bernasib baik kerana Presiden TTPM, Reihana Abd Razak menasihatkannya supaya memohon resit pengeluaran wang di bank sebelum tribunal itu mengeluarkan perintah.

Menurut Lee, kejadian berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Haji Ahmad pada 9 Jun lalu apabila dia didatangi seorang lelaki memegang kad dan memaklumkan bahawa dia memenangi bonus.

Katanya, lelaki terbabit terus masuk ke dalam keretanya tanpa kebenaran malah enggan keluar selepas diarahkan.

“Dia tidak mahu keluar kereta sebaliknya mengikut saja ke mana saya pergi sehingga memaksa saya mengeluarkan wang sejumlah RM15,000 dari akaun sebuah bank di Jalan Beserah,” katanya.

Lebih teruk lagi, katanya, dia dipaksa ke pejabat sindiket itu dan pintu dikunci dari luar bagi mengelakkan dia keluar.

“Mereka desak saya mengeluarkan kesemua wang berkenaan dan saya terpaksa kerana melihat keselamatan diri sudah tidak selamat. Mereka memberikan saya alatan dapur, ketuhar dan penapis air elektrik,” katanya.

Sorang lagi mangsa warga emas, Yow, 50an, menjadi mangsa sindiket itu di lokasi sama ketika dia bersama dua cucu berusia 10 tahun dan 5 tahun keluar dari pasar raya berkenaan.

Katanya, seorang lelaki mengikutnya dari arah belakang dan menggores satu kad sebelum memaklumkannya menerima hadiah bertuah dan boleh juga ditukar kepada wang tunai.

“Seorang lagi lelaki masuk ke dalam kereta dan memaksa saya mengikutnya ke pejabatnya yang berdekatan dan memberi satu katalog yang mengandungi senarai logo dan nama bank,” katanya.

“Saya seperti kena pukau kerana selepas itu mengikut sahaja arahan mereka lalu mengeluarkan wang sejumlah RM7,000 dari dua bank dan menyerahkan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, dengan jumlah itu, dia menerima dua barang iaitu tilam dan penapis air yang sehingga kini masih belum digunakan.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Teruntum, Alex Yeo berkata, pihaknya mengesan tiga lokasi tumpuan sindiket itu iaitu UTC, depan pasar raya di Jalan Tun Ismail dan Transit Point.

Menurutnya, PKR Kuantan menubuhkan pasukan khas Banteras Gores dan menang bagi membantu mangsa dan mereka boleh menghubungi talian 0109272216 untuk bantuan.

Selain itu, katanya, masih ramai yang masih tidak faham mengenai cara tuntutan di TTPM menyebabkan mangsa kes terbabit terpaksa hadir beberapa kali untuk menyelesaikan masalah itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");