Perak Hari Ini

Ketua Pembangkang Ditegur Tidak Berpakaian Ikut Protokol

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegur tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kerana tidak memakai pakaian mengikut protokol dalam tempoh berkabung berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Situasi itu tercetus ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri apabila Nizar bertindak segera mencari songkok dengan lilitan putih apabila menyedari tidak memakainya sedangkan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam mematuhi protokol itu.

“Dia (Nizar) tidak memakai songkok dan mungkin selepas itu, baru dia sedar hanya dia seorang tidak memakai songkok. Terpulang kepada sesiapa jua untuk menilai tetapi bagi saya, mungkin dia terlupa,” katanya.

Katanya, protokol berpakaian perlu dipatuhi bagi menunjukkan penghormatan dalam tempoh berkabung dan peraturan itu sewajarnya diikuti oleh semua pihak.

Zambry berkata demikian dalam satu sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) Ke-13 di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Nizar kelihatan tidak memakai songkok ketika sesi persidangan hingga waktu perbahasan.

Pemakaian songkok dengan lilitan putih adalah berkuatkuasa dalam semua majlis atau upacara rasmi di Perak berikutan tempoh berkabung selama 100 hari di atas kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Sementara itu, Zambry turut mengulas mengenai perjalanan persidangan DUN yang hanya diadakan dalam tempoh sehari sahaja.

“Dewan bersidang satu hari sahaja bagi menyampaikan ucapan takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah dan ucapan tahniah buat Sultan Perak yang baru dilantik, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-34.

“Selain itu, kita turut mengemukakan satu usul khas berkaitan tragedi pesawat MH370 dan MH17 dan kita lihat ahli dewan cukup tertib ketika menyampaikan rasa simpati mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");