Isu Panas

Krisis Selangor: Nik Nazmi Tolak Jadi MB

nik nazmi

PETALING JAYA: Selepas disebut-sebut menjadi individu ketiga sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil menolak cadangan tersebut.

Sebaliknya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu dipilih itu menegaskan bahawa beliau tetap menyokong pencalonan Presiden Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik ke jawatan itu.

“Saya ingin ulangi pendirian saya dari awal bahawa saya menyokong penuh calon yang dicadangkan PKR iaitu presiden kami sendiri, Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat baru-baru yang mencadangkan agar beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Selasa lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Baginda meminta parti-parti dalam Pakatan Rakyat supaya mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu.

Sehingga kini PKR dan DAP berkeras untuk hanya mengemukakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Bagaimanapun PAS sudah menyatakan hasrat untuk mengemukakan tiga nama Adun PKR sebagai pengganti Khalid.

Sebelum ini PAS pernah menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua menteri besar Selangor.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");