Perak Hari Ini

Masalah Tanah Mendap Di RPT Buntong 3 Tambahan Semakin Serius

FOTO oleh Ahmad Amirul Hakim Ahmad Zulkifli:-

Masalah tanah mendap yang berlaku di kawasan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Buntong 3 Tambahan, dekat Ipoh semakin serius hingga dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk jika tindakan segera tidak diambil pihak yang bertanggungjawab.

Terbaru, ruang tamu rumah milik keluarga V Selvaraj di Laluan Buntong Jaya 8, pula runtuh akibat tanah mendap dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Selain ruang tamu, sebahagian besar struktur dinding dan lantai rumah terbabit mengalami keretakan yang serius dan ibarat hanya menunggu masa sebelum rumah itu runtuh menyembah bumi.

Salah seorang penduduk, S Perumal, 68, berkata rumah jirannya itu terpaksa dikosongkan atas faktor keselamatan penghuninya.

rumah mendap

“Kira-kira jam 3 petang semalam, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat datang memeriksa struktur binaan rumah itu dan mendapati ia tidak selamat lagi diduduki sebelum mengarahkan penghuninya mengosongkan rumah tersebut dengan segera.

“Tapak rumah ini dahulunya bekas tempat pelupusan sampah dan sejak kebelakangan ini, masalah tanah mendap yang dihadapi beberapa rumah di RPT Buntong 3 Tambahan semakin serius,” katanya kepada Peraktoday.com.my.

tanah lagi

Mengulas lanjut, Perumal yang menetap di kampung tersebut sejak 26 tahun lalu menegaskan, masalah tanah mendap itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa negeri tetapi sehingga hari ini, tiada tindakan susulan diambil.

Tegasnya, terdapat sekurang-kurangnya 10 buah rumah yang terjejas akibat masalah tanah mendap di kawasan RPT Buntong 3 Tambahan.

Sementara itu, P Seran, 38, pula berkata beliau terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki struktur rumahnya yang retak akibat tanah mendap.

“Dengan pendapatan yang seberapa, masalah ini nyata membebankan kami sekeluarga,” tegasnya lagi sambil berharap tindakan segera diambil pihak berwajib bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");