Membawang Hari Ini

Mat Tudung tidak menghampakan

mat tudung

Selain pelbagai program menarik disediakan stesen televisyen khusus untuk tontonan seisi keluarga pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini, tidak ketinggalan juga dua filem Me­layu menemui penonton di seluruh pawagam tanah air.

Satu daripadanya ber­genre romantik komedi, Mat Tudung arahan Waan Hafiz Wan Husain yang buat pertama kali menampilkan pelakon Fizz Fairuz sebagai watak utama. Manakala, satu lagi Tembus arahan sutradara berpengalaman, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Jika Waan Hafiz selesa memilih barisan pelakon ‘pelapis’ seperti Fizz, Izzue Islam dan Nelydia Senrose sebagai watak penting dalam filemnya, Ahmad Idham juga mempunyai acuan tersendiri.

Meletakkan nama pelakon popular yang menjadi bualan ramai seperti Aaron Aziz, Luna Maya dari Indonesia dan Nur Fazura, pastinya Tembus dilihat berpotensi besar menarik penonton ke pawagam.

Sayangnya, percaturan dibuat Idham itu tidak menjadi apabila nama-nama hebat diketengahkan dalam Tembus kurang menyengat untuk menarik penonton ke pawagam. Selama seminggu tayangan mulai 28 Julai lalu, Tembus hanya mampu meraih sekitar RM400,000.

Namun, lain pula penerimaannya dengan Mat Tudung yang lebih ceria kerana jumlah kutipan tiket dicatat agak menyerlah iaitu sudah mencecah lebih RM1 juta. Ia sekali gus mengundang senyum manis buat penerbitnya, Showbiz Production yang juga salah satu anak syarikat Kumpulan Syarikat KRU.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana Mat Tudung berjaya mencatatkan kutipan yang baik.

Katanya, dalam situasi pasaran filem Melayu yang kurang baik sekarang, jumlah diraih itu agak menggalakkan.

“Meskipun Mat Tudung berjaya mencatat jumlah kutipan lebih RM1 juta, tetapi ia bukan perkara baru dalam industri perfileman Melayu sekarang. Ditambah, melihatkan pada keadaan pasaran filem yang kian lembap, ia jumlah mampu dibanggakan.

“Saya mengharapkan pada tayangan minggu kedua diteruskan Mat Tudung di pawagam, jumlah kutipan dikumpul nanti lebih baik lagi,” katanya mengakui kagum dengan lakonan mantap dipersembahkan Fizz.

Norman berkata, secara peribadi dia sukakan lakonan bersahaja dan santai ditampilkan Fizz dalam filem itu yang dianggap ‘versatile’.

Katanya, Fizz berjaya membuktikan betapa dia sebenarnya salah seorang pelakon berbakat besar tanah air.

“Saya sendiri tidak sangka Fizz mampu menonjolkan lakonan terbaik. Bahkan, dia (Fizz) juga amat mudah bekerjasama. Jadi, pengarah pun tiada masalah bekerja dengannya.

“Apabila menonton dan menilai hasil kerja Fizz dalam beberapa filem terdahulu seperti Cinta Kura-Kura dan Hantu Kapcai, saya akui mutu lakonan dipersembahkannya cukup mantap dan berkesan. Fizz seorang pelakon hebat.

“Walau hanya melakonkan watak pembantu sekali pun, Fizz tetap komited. Bahkan, berilah apa saja watak kepadanya, hasilnya pasti tidak menghampakan,” katanya.

Turut mengharapkan nama Fizz seharusnya sudah sebaris dengan Aaron dan Zizan Razak, pada kaca mata Norman, anak jati Pahang itu juga seorang anak seni serba boleh.

Katanya, sudah tiba masa untuk penonton menilai bakat seni besar dimiliki Fizz.

Ujar Norman lagi, filem lain turut menampilkan Fizz tentunya Cicakman 3 dan Dendam Orang Mati bersama Lisa Surihani.

Cebisan sinopsis mengenai Mat Tudung yang menelan belanja pembikinan RM1.5 juta, ia mengisahkan Johari (Fizz), seorang mat motor yang terpaksa menyamar sebagai wanita bertudung dengan nama ‘Johanna’ demi untuk mendampingi gadis pilihan hatinya, Zizie lakonan Nelydia Senrose.

Pada masa sama, dia juga perlu membantu menyelamatkan keluarga Zizie yang bermasalah. Mampukah Johari menambat cinta Zizie dan sehingga bilakah penyamaran dilakukan itu terus menjadi rahsia?

Idham akur pilihan penonton

Bersandarkan pengalaman dan rekod pencapaiannya dalam industri perfileman tanah air, Ahmad Idham nyata bukan calang-calang pengarah.

Justeru, tidak hairanlah apabila dia sering muncul dengan sentuhan baru.

Pun begitu, ketika penonton filem Melayu kini lebih cenderung menerima genre romantik komedi, Idham tetap berani menonjolkan sentuhan yang lebih segar. Baginya, dia perlu sedia mencuba.

Menerusi Tembus yang juga karya terakhir arahan­nya di bawah produksi Excel­lent Pictures Sdn Bhd, Idham berkata, dia bagaimanapun sudah menghasilkan filem itu sebaik mungkin.

Katanya, sebagai seorang pembikin filem kreatif dan berpengalaman, dia sentiasa terbuka menerima teguran dan pandangan.

“Saya turut mengambil kira pandangan pengkritik filem tempatan yang rata-ratanya inginkan suatu genre baru untuk ditonton di pawagam. Jadi, menerusi Tembus saya sekadar cuba membawa pembaharuan.

“Apapun, pada masa sama saya juga tersepit dan keliru untuk mengenal pasti kehendak sebenar penonton. Ternyata, penonton filem Melayu nampaknya masih suka memilih karya santai untuk ditonton lebih-lebih lagi di Aidilfitri.

“Filem berasaskan komedi sama ada romantik atau seram dilihat masih diterima baik penonton. Justeru, saya hanya mampu tumpang gembira dengan kutipan dicatat filem Mat Tudung,” katanya.

Selesa memandang ke arah positif, Idham berkata, dalam kemelut pasaran filem Melayu yang semakin merudum, dia tidak melihat kejayaan diperoleh filem Mat Tudung sebagai satu persaingan.

Katanya, dia sentiasa bersikap terbuka dalam memberi sokongan pada industri filem tempatan. Apa yang pasti dia takkan berhenti berkarya.

Meskipun kutipan filem arahannya tidak mencecah tahap pecah panggung, Idham berkata, tidak wajar untuk dia menarik brek dan berhenti. Katanya, terus berkarya perlu dilakukan.

Demi memastikan industri perfileman Melayu terus bernafas, banyak pihak harus memainkan peranan. Bahkan, katanya penonton tempatan juga haruslah sedia menyokong produk seni yang dihasilkan.

Tembus yang menelan kos sRM1.5 juta mengete­ngahkan kisah mengenai ego manusia, kasih sayang dan isu kekeluargaan yang jarang diperkatakan di layar filem berbanding televisyen.

Turut dijayakan pelakon seperti Mia Sara, Khir Rahman dan Datuk Eizlan Yusof, Tembus memuatkan isu serius dan berat yang kena dengan keadaan sosial masa kini seperti kes penculikan anak, masalah rumah tangga serta skandal.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");