Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang yang bakal mengeratkan lagi hubungan diplomasi yang terjalin kukuh antara kedua-dua buah negara tersebut.
Menurut Zambry, sempena ulangtahun ke-40 hubungan diplomasi China dan Malaysia, kerajaan negeri ingin bergerak maju ke hadapan.
Kunjungan Dr Huang yang berlangsung sekitar satu jam itu katanya, antara lain membincangkan potensi Perak untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat negeri tersebut.
Sementara itu, Huang menegaskan, keakraban hubungan antara Malaysia dan China dizahirkan dengan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara itu, pada Mei lalu.
“Kerjasama dalam semua bidang termasuklah politik dan ekonomi akan lebih digalakkan supaya Malaysia mampu memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal di peringkat antarabangsa kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Zambry turut menerima kunjungan hormat Pegawai Daerah Perak Tengah yang baharu dilantik, Md Dan Hassan.
Jelas Zambry, amanah dan bertanggungjawab yang telah diberi perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap pekerjaan dapat dilaksanakan secara berkesan berdasarkan kepada tempoh waktu yang diberikan.
“Saya yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik dan berharap tidak berlaku sebarang kelewatan dalam pelaksanaan dasar kerajaan kelak,” katanya tegas.
Jelasnya, setiap pegawai daerah yang dilantik juga perlu sentiasa berada di kawasan masing-masing dan kegagalan berbuat demikian bakal menyusahkan rakyat untuk berhubung dengan pihak yang berkenaan.