Laporan Eksklusif

MH17: Kehilangan yang terlalu sukar diterima – Keluarga Karamjit

MH17 DAY OF MOURNING

SHAH ALAM: Suasana pilu dan hiba menyelubungi upacara pembakaran jenazah Karamjit Singh Karnail Singh, yang merupakan antara 20 jenazah mangsa tragedi pesawat MH17, yang dibawa pulang ke Malaysia untuk disemadikan hari ini.

Bagi keluarga mendiang, kehilangannya terlalu sukar untuk diterima.

“Walapun mayatnya telah ada di depan mata, sehingga ke hari ini ahli keluarga masih belum dapat menerima (kenyataan) yang dia sudah tiada.

“Dari mula kapal terbang MAS itu dilaporkan terhempas, kami sentiasa berharap dia tidak ada dalam pesawat itu,” kata adik bongsu Karamjit, Harjit Kaur, 51, pada majlis itu di Taman Peringatan Nirvana Seksyen 21 di sini, hari ini.

Jenazah Karamjit, 54, yang tiba kira-kira 12.35 tengah hari ini, disambut dengan tangisan anggota keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan terdekat.

Jenazah mendiang merupakan kumpulan pertama daripada 43 rakyat Malaysia yang maut dalam tragedi itu yang dibawa pulang.

Turut memberikan penghormatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Pada upacara itu, Mohamed Khusrin turut menyerahkan Jalur Gemilang yang menutupi keranda kepada isteri mendiang, Harbinder Kaur sebelum bermulanya upacara sembahyang dan pembakaran.

Abu mayat mendiang, anak kelima dari enam beradik itu akan disemadikan di laut di Pelabuhan Klang, esok pagi.

Mendiang Karamjit, penasihat keselamatan yang berkhidmat dengan syarikat ExxonMobil, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bertugas di pelantar minyak di Usan, Nigeria, ketika tragedi berlaku.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia 21 dan 22 tahun.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");