Jenayah

‘Mujur cikgu tiada dalam kereta’

kereta

Banting: “Mujur ketika kejadian cikgu tiada dalam keretanya, kalau tidak mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku kepadanya kerana dia tidak berapa sihat.

“Sebelum kejadian, saya dan rakan sekelas nampak cikgu masuk ke dalam keretanya sebab itu kami menyangka dia terperangkap dalam kenderaan itu dan kejadian berlaku begitu pantas,” kata saksi kejadian yang juga pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Teluk Panglima Garang, Sofiatul Hidayah Azman Naim.

Kejadian berlaku jam 8.30 pagi itu menyebabkan Proton Waja milik guru wanita sekolah berkenaan hangus manakala sebuah lagi Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian belakang dan kiri akibat terkena percikan api.

Menurut Sofiatul, dia dimaklumkan rakannya cikgu berkenaan yang juga cikgu Pengajian Am kelasnya tidak sihat dan membuat keputusan untuk pulang ke rumah.

“Sebaik melihat asap mulai keluar di bahagian depan kereta, saya bersama rakan lain bergegas mendapatkan pemadam api dan cuba memadam kebakaran, namun api marak dengan cepat bagaimanapun kereta Perodua Myvi dapat dialihkan oleh seorang kakitangan sekolah.

“Kerana asap terlalu tebal, kami tidak dapat memastikan sama ada cikgu berada di dalam keretanya atau tidak kerana kami tidak dapat menghampiri keretanya tetapi sebaik melihat dia berjalan ke lokasi kejadian, kami menarik nafas lega,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, guru kelasnya memaklumkan selepas beberapa minit masuk ke dalam kereta, dia keluar semula untuk ke pejabat sekolah bagi mengisi borang cuti sakit sebelum kereta miliknya tiba-tiba terbakar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.46 pagi, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, 90 peratus kereta berkenaan sudah terbakar dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 9.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada lintar pintas kerana difahamkan sebelum kejadian cikgu berkenaan meninggalkan keretanya tanpa mematikan suis serta penghawa dingin juga dihidupkan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");