Jenayah

NGO bantah tambah zon hiburan

bantah

KUALA KUBU BHARU – Sekretariat Bantahan Zon Hiburan menyerahkan memorandum bantahan di atas cadangan menjadikan Batang Kali sebagai Zon Hiburan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) semalam.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Hulu Selangor, Hasnor Puteh kepada Setiausaha MDHS, Azman Dahlan.

“Kita di Sekretariat Bantahan yang terdiri daripada ketua kampung, nazir masjid dan pengerusi surau telah bermesyuarat kali kedua dan sebulat suara membantah terhadap cadangan menambah zon hiburan.

“Hari ini (semalam) kita menyerahkan memorandum supaya perbincangan lanjut dibuat (kaji semula),” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Antara rumusan dalam memorandum berkenaan adalah, Batang Kali yang masih berwajah luar bandar dan kehijauan perlu dipelihara, zon hiburan akan mendorong kewujudan pusat hiburan haram walaupun ada yang berlesen, gejala sosial meningkat, kos membanteras pusat hiburan haram dan gejala sosial akan meningkat malah lebih tinggi daripada pendapatan yang mungkin diperoleh, anggota penguatkuasaan dan pihak berkuasa biasanya tidak akan cukup anggota untuk memantau sepenuhnya zon tersebut bila diwartakan.

Hasnor yang juga Ketua Kampung Serendah berkata, sekiranya zon hiburan diluluskan sudah pasti berlaku lambakan aktiviti hiburan dan semakin sukar dikawal.

Menurutnya, gejala sosial dan maksiat juga akan berleluasa malah lebih buruk daripada yang direkodkan ketika ini.

“Kita juga tidak mahu tanggungjawab kita sebagai ketua kampung, nazir masjid dan pengerusi surau membiarkan saja perkara ini.

“Sekarang sudah ada masalah dan kalau ada zon hiburan lebih bercambah maksiat itu,” katanya.

Beliau difahamkan, sesi pendengaran awam telah diadakan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan maklumbalas yang diperoleh turut menolak cadangan tersebut.

Menurutnya, sekiranya MDHS tetap meluluskan cadangan tersebut maka Sekretariat Bantahan akan mengambil langkah kedua dengan mendapatkan sokongan seluruh masyarakat dan bangkit menyatakan bantahan.

Hasnor turut menyedari hanya lebih 60 peratus saja penduduk Islam di kawasan Batang Kali dan selebihnya bukan Islam.

Justeru katanya, sebagai memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam maka perlu digantikan dengan pembinaan kawasan riadah, sukan dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al Falah, Hulu Yam, Harun Hasim berkata, Hulu Selangor sudah mempunyai zon hiburan iaitu di Bukit Sentosa dan pusat hiburan di Genting Highlands yang tidak jauh dari Batang Kali.

Menurutnya, kewujudan kawasan hiburan ini sudah banyak mengundang kepada gejala sosial kerana kegagalan pihak berkuasa mengawal pertumbuhan tempat hiburan.

“Kawalan tak ada contoh di kafe siber yang melarang pelajar sekolah masuk beruniform tapi masih tak dapat dikawal pihak berkuasa.

“Sekiranya anggota penguatkuasa mencukupi mungkin kurang masalah tapi penguatkuasaan tak mampu atasi masalah ini. Jadi kita bimbang jika zon hiburan diwujudkan akan jadi masalah,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");