Perak Hari Ini

Nizar Didakwa Atas Tuduhan Fitnah Perdana Menteri

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012.

Beliau telah didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Walaubagaimanapun, beliau yang diwakili oleh 12 peguam mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering telah didakwa memfitnah Perdana Menteri dalam ceramah bertarikh 23 April 2012 antara jam 9 malam hingga 12 malam di Taman Desa Pakatan, dekat Ipoh.

Dalam ceramahnya itu, Nizar didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah iaitu menyatakan tohmahan dengan mengetahui bahawa perbuatan itu akan merosakkan nama baik pemimpin nombor satu negara itu.

Nizar dalam kenyataan ceramah telah menyebut, “saya juga dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil pimpinan-pimpinan angkatan tentera, semua pegawai kanan daripada darat ke laut dan udaranya.

“Najib bertanyakan pada mereka seandainya Barisan Nasional tumbang, maka buatlah sesuatu,”.

Beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan menyatakan, “saudara-saudara apa kata ketua-ketua angkatan tentera mereka juga terbuka, mereka belajar berkenaan apa yang berlaku di Timur Tengah, maka mereka beritahu Najib, kami akan menyebelahi rakyat, itu jawapan tentera.

“Maknanya kalau rakyat menolak Barisan Nasional memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya, maka tentera-tentera akan bersama dengan rakyat menyebabkan Najib menjadi pucat lesi sepucat-pucatnya.

“Najib ingat tentera boleh dimain,” demikian ucapan Nizar dalam ceramah pada malam itu lagi.

Mahkamah telah menetapkan dan mengarahkan Nizar untuk membayar wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Hakim juga telah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");