Shah Alam: “Ia adalah pembelaan kepada kematian arwah isteri saya,” kata Irwan Kamarudin, suami pegawai bank, Norazita Abu Talib yang meninggal dunia akibat ditembak bekas pengawal keselamatan, La Ode Ardi Rasila, Oktober tahun lalu.
Dia yang ditemui selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap La Ode berkata, mereka berpuas hati dan sememangnya menunggu keputusan itu.
“Kedua-dua anak saya sihat, bagaimanapun merindui ibu mereka. Mereka masih bertanyakan mengenai Norazita sehingga kini, bagaimana kami perlu meneruskan kehidupan,” katanya.
Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua pertuduhan yang dihadapi oleh La Ode, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampau keraguan munasabah.
Hakim Akhtar dalam penghakimannya berkata, berdasarkan pembelaan, tertuduh didapati sengaja melepaskan tembakan ke arah Norazita pada hari kejadian.
-Metro