Jenayah

Ops Bah gempur tujuh parlimen

rumah urut 1

KUALA LUMPUR – Konsepnya adalah bilik mandi, kerana terdapatnya peralatan mandian, namun menghairankan apabila ia turut dilengkapi tilam dan televisyen.

‘Bilik istimewa’ dipercayai menjadi pakej tarikan pelanggan itu ditemui ketika serbuan sebuah premis rumah urut dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah), di Danau Desa, malam kelmarin.

Konsep sama turut ditemui ketika serbuan di Bandar Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras, namun yang ini tidak dilengkapi televisyen, sebaliknya dihiasi lampu ala ‘disko’.

Itu antara penemuan hasil pemeriksaan ke atas 77 premis urut di tujuh kawasan parlimen yang dikenal pasti dalam Ops Bah berakhir jam 7 pagi semalam.

Sebuah lagi premis urut yang diserbu didapati mengupah pekerja berpakaian seksi, warga asing sebagai tukang urut yang didapati tidak mempunyai permit perjalanan sah.

Di premis berasingan, penguatkuasa (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) DBKL, mengambil masa untuk membuka pintu rumah urut, dan apabila serbuan dibuat, terdapat akses pintu belakang yang telah digunakan untuk melarikan diri.

Lain pula cerita di sebuah lagi premis urut yang dipercayai dimiliki oleh seorang individu beragama Islam, namun dikelola oleh bangsa lain dan terdapat jam dinding yang tertera kalimah ALLAH serta ayat Al-Quran. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat rampasan.

Lebih 700 komputer judi dirampas

Ops Bah siri 3 itu, digerakkan ke tujuh kawasan parlimen iaitu di Titiwangsa, Wangsa Maju, Batu, Lembah Pantai, Seputeh, Bandar Tun Razak, dan Setiawangsa.

Turut disasarkan adalah premis kafe judi siber yang berselindung di sebalik cermin gelap, kedai mamak, serta premis tanpa papan tanda.

Sebanyak 127 kafe judi siber diserbu dan 700 unit komputer di sita.

Terdapat pelanggan yang tidak sempat melarikan diri di beberapa premis yang diserbu.

Bagaimanapun terdapat juga premis yang telah dikosongkan termasuk peralatan komputer, dipercayai ekoran kebocoran maklumat berhubung operasi yang dilaksanakan.

Penguatkuasa DBKL diugut

Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan menimbulkan rasa tidak puas hati pihak berkaitan yang bertindak mengugut seorang pegawai penguatkuasa DBKL.

Seorang lelaki berpangkat ‘Datuk’ yang dipercayai pemilik premis urut yang diserbu tidak berpuas hati tindakan dibuat pihak penguatkuasa yang memecah masuk ke dalam premis rumah urutnya tanpa kebenaran.

Lelaki berkenaan dilihat bertindak mengambil gambar semua anggota penguatkuasa yang sedang bertugas sebelum mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang turut disaksikan beberapa pegawai dan anggota penguatkuasa bertugas.

Pegawai bertugas dipastikan selamat

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, ketika diminta mengulas kejadian berkenaan berkata, pihaknya akan menelitinya sebelum membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan anggota dan pegawai bertugas.

Katanya, tindakan individu itu adalah bagi menghalang tindakan diambil, namun segala yang dilakukan telah diteliti hasil risikan dibuat.

“Bukan niat halang mereka berniaga, tapi berniagalah tanpa merosakkan moral masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Ops Bah akan diteruskan sehingga semua aktiviti haram dibasmi.

“Semua premis judi yang diserbu akan dipotong bekalan elektriknya dan kita percaya mereka akan beroperasi semula dengan membuat sambungan haram,” katanya.

Seramai 173 orang, membabitkan warga asing, penyalahgunaan dadah dan kes khalwat, ditahan dalam operasi melibatkan kekuatan anggota seramai 967 orang daripada 13 agensi.

Antara yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");