Perak Hari Ini

Pasangan Model Separuh Bogel: Perkasa Perak Buat Laporan Polis

Oleh Siti Norain Usop/Foto: Shahinaz Che Juari:-

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu yang berpakaian tidak sopan dalam satu sesi fotografi di Ipoh, semalam.

Ketua Wira Perkasa Perak, Nor Afzainizam Salleh bersama sembilan lagi anggota pertubuhan itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 3.20 petang tadi.

Beliau mendakwa bahawa gambar tersebut telah melanggar norma budaya Timur yang diamalkan masyarakat negara ini.

“Perlakuan aib tersebut sepatutnya tidak dilakukan dengan apa jua alasan kerana ia seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti umat Islam dan adat budaya orang Melayu khususnya di Perak,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius dan tindakan sewajarnya perlu diambil oleh pihak yang berwajib.

“Ini merupakan satu isu yang amat serius dan amat wajar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Ia perlu untuk mengelakkan kejadian yang sama akan berulang di masa hadapan,” katanya lagi.

Ujarnya, individu tersebut tidak mempunyai alasan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut di khalayak umum.

“Perlakuan yang tidak senonoh itu melanggar tatasusila seperti yang terkandung dalam Rukun Negara,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa perbuatan tersebut ibarat mencabar sensitiviti masyarakat Melayu di negara ini.

“Kita berada di negara di mana masyarakatnya mengamalkan adat dan budaya yang tinggi dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” tambahnya.

Semalam, tindakan sepasang individu yang berpakaian menjolok mata dalam sesi fotografi di Jalan Sultan Yussuf berhampiran Padang Ipoh telah menarik perhatian orang ramai kerana perbuatan tersebut seperti tidak menghormati sensitiviti agama Islam di negeri itu.

Dalam kejadian kira – kira jam 9 pagi itu, pasangan yang terdiri daripada seorang wanita hanya berpakaian coli dan seluar dalam berwarna putih dan seorang lelaki cuma seluar panjang tanpa baju.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");