Jenayah

Pegawai polis didenda RM5,000 terima suapan RM300

mahkamah 1

IPOH – Seorang pegawai polis dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 dua tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Asisten Superintendan Shuib Abdul Samad @ Zainul dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar didakwa menerima suapan itu dengan tiada balasan daripada Tan Tiong An.

Shuib mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Kangsar yang mana Tan ditahan pada 12 Jun 2012 kerana disyaki penagih dadah.

Dia melakukan kesalahan itu di Restoran Dila Tomyam, No 5 Gerai MPKK Medan Selera, Stesen Keretapi, Jalan Raja Idris dekat Kuala Kangsar, pukul 1.20 petang pada 5 Julai 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.

Shuib yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara.

“Jika diberi peluang saya akan bekerja sebagai anggota polis hingga pencen dan saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");