Perak Hari Ini

Pembangunan Giat Dilaksanakan Di Teluk Intan

Pembangunan sedang giat dilaksanakan di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong demi kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.

Menurut beliau, banyak program yang telah diatur dan dilaksanakan oleh pihaknya untuk memberikan kesenangan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Dalam masa dua bulan ini, kita telah buat banyak program di Teluk Intan antaranya mewujudkan Pusat Komputer 1Malaysia di empat lokasi di Teluk Intan.

“Kewujudan pusat komputer tersebut bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat tetapi golongan anak muda melayari internet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kibar Jalur Gemilang 2014 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Menara Condong dekat Teluk Intan, malam tadi.

Katanya, pihaknya juga akan berusaha menyediakan kemudahan lain seperti yang dijanjikan dalam manifestonya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang berlangsung pada penghujung Mei lalu.

“Pada tahun depan juga, kita akan menyediakan khidmat jaringan internet tanpa wayar (wifi) percuma di sekitar kawasan Teluk Intan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan dan khidmat Unifi juga bakal disediakan pada tahun hadapan.

“Ini dilaksanakan bagi memenuhi janji kita kepada pengundi Teluk Intan yang telah memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN),” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengulas berkenaan pembinaan sebuah universiti awam di Teluk Intan seperti yang turut terdapat dalam manifestonya.

“Pada mulanya, sasaran hanya 1,0000 pelajar tetapi untuk jangka masa panjang, kita mahu universiti tersebut dapat menampung antara 5,000 hingga 6,000 pelajar pada satu-satu masa.

“Kita hendak tapak atau kawasan yang lebih besar kerana kerja pembinaan tidak boleh disegerakan jika kawasan itu kecil.

“Kita telah kenalpasti beberapa lokasi antaranya di Changkat Jong dan Padang Tembak yang memiliki kawasan yang luas dan sesuai dijadikan tapak pembinaan untuk universiti ini,” kata beliau lagi.

Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul berkaitan pembinaan universiti terbabit.

“Masalah utama yang dikenalpasti adalah tanah yang dicadangkan untuk tapak pojek merupakan tanah milik persendirian.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran dan juga Pegawai Daerah supaya mengemukakan kertas kerja berkenaan tanah itu kepada pihak kerajaan,” katanya lagi.

Tambah Mah lagi, projek tersebut memerlukan kos yang agak besar dan ia memakan masa untuk memohon peruntukan serta mengkaji berkenaan perkara-perkara yang berkaitan.

“Pada masa ini, kita memerlukan peruntukan berjumlah kira-kira RM5 juta bagi projek itu dan kita harap semua ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kita juga hendak kaji daripada segi kewangan dan kesesuaian untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Pada PRK Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong , 53, dari Barisan Nasional (BN) telah menewaskan Dyana Sofya Mohd Daud, 27 dari DAP dengan majoriti 238 undi.

Mah berjaya meraih 20,157 undi manakala pencabarnya, Dyana Sofya sekadar merekodkan 19,919 undi.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng daripada parti DAP akibat barah pada 1 Mei lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");