Perak Hari Ini

Pemimpin, Ahli UMNO Dinasihat Tidak Amal Politik Kotor

Oleh Siti Norain Usop/Gambar:- Shahinaz Che Juari:-

Barisan kepimpinan dan ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak mengikut jejak diamalkan oleh sesetengah pihak yang menjadikan matlamat menghalalkan cara.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, ia kini berlaku dalam kancah politik semasa dengan menggunakan cara yang salah untuk menjatuhkan pihak lain.

“Dalam suasana hendak meraikan ulangtahun kemerdekaan negara ke-57 bulan ini, kita bukan sahaja harus bersyukur tetapi juga bekerja kuat untuk memastikan apa yang kita warisi daripada pejuang-pejuang terdahulu terus dikekalkan daripada membangkitkan isu-isu yang boleh memecah-belahkan kita.

“Ia membabitkan isu yang berkisar dan berbaur perkauman, keagamaan dan politik kebencian iaitu menyerang peribadi pemimpin-pemimpin dengan menggunakan media sosial dan kaedah baru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka dekat Tapah, petang tadi.

Turut hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Mah Hang Soon dan wakil Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata lagi, rakyat harus bersyukur kerana apabila negara dilanda musibah yang tidak dijangka, Malaysia masih diberi kekuatan untuk menempuhi masalah tersebut.

“Dengan melihat apa yang berlaku hari ini, kita harus bersyukur kerana walaupun kita berdepan dengan ujian yang berat, Allah SWT masih memberi kita kekuatan.

“Kita juga diberi ketabahan untuk melihat ke hadapan dan tidak terikut-ikut dengan rentak mereka yang mahu menanam rasa kebencian dalam landskap politik negara,” katanya.

Katanya, ia jelas dapat dilihat apabila Malaysia ditimpa kejadian yang di luar jangkaan iaitu kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 yang terhenpas di sempadan Rusia-Ukraine.

“Pengalaman mengendalikan tragedi MH370 dan MH17 menunjukkan walau negara kita tidak sebesar mana dan tidak mempunyai peralatan yang canggih tetapi berbekalkan kepada keikhlasan dan semangat yang datangnya daripada rakyat berbilang kaum, kita mampu menghadapinya,” ujarnya.

Terdahulu, beliau dalam ucapan perasmian telah menasihati barisan pemimpin UMNO dan peringkat umbi agar memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau juga berharap agar pucuk pimpinan UMNO serta ahli menjaga parti dengan sebaik-baiknya walaupun parti itu dicemuh dengan pelbagai tohmahan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");