Membawang Hari Ini

Qi kejutkan Nelydia

BERBEKALKAN wajahnya yang cukup berseri, mukadimah bicara pelakon jelita, Nelydia Senrose kedengaran cukup teruja. Manakan tidak, sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, buat kali pertama nama Nelydia tercalon dalam Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26).

Tercalon menerusi filem Cinderella, pelakon yang baru menginjak usia 20 tahun itu bersaing dengan empat lagi nama baharu dunia lakonan tempatan, Cristina Suzanne (KIL), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Siti Saleha (14 Kerat) dan juga kakaknya sendiri Uqasha Senrose (Paku Pontianak).

Tidak menganggap kakaknya dan juga pelakon-pelakon lain sebagai saingannya, Nelydia memberitahu, dia cukup gembira kerana turut tercalon dalam kategori tersebut.

“Saya tidak anggap Uqasha sebagai saingan, tetapi kejayaan adik-beradik apabila kami sama-sama tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita FFM26.

“Saya juga tidak meletakkan apa-apa harapan untuk menang kerana tiga nama lain yang tercalon iaitu Cristina, Nadia dan Siti Saleha cukup besar dalam industri lakonan.

“Turut tercalon dalam kategori ini juga sudah membuatkan saya cukup gembira dan rasa dihargai,” ungkapnya merendah diri.

Nelydia ditemui selepas acara pengumuman lima calon terbaik bagi 24 kategori FFM26 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ampang, Selangor baru-baru ini. FFM 26 bagaimanapun masih tidak mempunyai lokasi dan tarikh selepas ditunda bagi menghormati tragedi MH370 dan MH70.

Sharnaaz

Bakal bergandingan sekali lagi bersama pelakon Sharnaaz Ahmad dalam drama terbaharu selepas kejayaan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Nelydia mengharapkan gandingannya bersama Sharnaaz kali ini tidak mencetuskan sebarang kontroversi.

Pemilik nama penuh Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen itu juga mengakui watak yang digalas dalam drama terbaharu berjudul Setitis Kasih Damia itu juga tidak seperti karakternya dalam Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang digambarkan sebagai cuba menggoda watak lakonan Sharnaaz.

Disebabkan itu, kata Nelydia, dia tidak perlu mengambil langkah berjaga-jaga atau mengehadkan lakonannya di samping Sharnaaz dalam Setitis Kasih Damia.

“Saya mengakui keserasian berlakon di samping Sharnaaz agak kuat dan mungkin disebabkan itu kami digandingkan sekali lagi. Saya juga mendapat maklum balas daripada peminat yang mahu melihat kami sekali lagi digandingkan dalam drama.

“Bagaimanapun, saya tidak fikir drama ini bakal mencetuskan kontroversi kerana watak yang digalas kali ini berbeza. Dalam Setitis Kasih Damia yang bakal ditayangkan di TV9 itu, saya membawa watak sebagai perempuan kampung yang naif dan teraniaya.

Berbeza dengan watak dalam Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang mana memerlukan saya menggoda Sharnaaz,” jelas anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Ada meminta pendapat terlebih dulu daripada kekasihnya, Qi Razali, luah Nelydia, dia berasa lega kerana Qi positif membenarkannya berlakon di samping Sharnaaz.

“Saya ada beritahu Qi mengenai hal ini (berlakon di samping Sharnaaz), Alhamdulillah dia positif dan tiada masalah mengenai gandingan kami dalam drama tersebut,” ulasnya lagi.

Kejutan

Sempena sambutan hari lahirnya yang ke-20 pada 30 Julai lalu, Nelydia mengakui, dia menerima kejutan daripada kekasihnya.

“Bagi saya, ini sambutan hari lahir paling istimewa dalam hidup saya. Belum pernah orang buat kejutan seperti ini.

“Saya tidak sangka Qi sanggup kumpulkan seluruh ahli keluarga dan juga kawan-kawan saya untuk meraikan hari lahir saya.

“Malah, bukan satu kejutan tetapi banyak kejutan yang dilakukan Qi kepada saya,” ujar Nelydia yang menerima beberapa hadiah daripada kekasih kacaknya itu.

Paling istimewa, kongsi Nelydia lagi, dia menerima hadiah gambar arwah nenek kesayangannya yang telah dibingkaikan oleh Qi.

Kini berada dalam fasa romantis, maka, pelakon drama Strawberi dan Karipap itu turut disoal bagaimanakah fasa hubungannya bersama Qi pada masa depan.

Tidak menolak jodohnya bersama Qi, kata Nelydia, sudah tentu dia mahukan hubungannya bersama Qi melangkah ke fasa yang lebih serius.

“Setiap pasangan bercinta mahukan hubungan yang lebih serius. Begitu juga saya dan Qi. Kami masih dalam proses mengenali hati budi. Kalau ada benda baik (perkahwinan), kami akan beritahu semua,” luahnya mengakhiri perbualan pada malam itu.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");