Membawang Hari Ini

Raja Ilya tak kisah dibenci

raja ilya

RAMAI pelakon di negara ini tidak mahu membawakan watak antagonis dalam sesebuah filem mahupun drama ekoran bimbang di cop sebagai orang jahat.

Tambahan pula, masyarakat hari ini lebih beremosi jika ada pelakon yang berjaya membawakan watak hitam itu dengan jayanya.

Begitu pun, lain pula bagi Raja Ramilah Raja Mohd atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya.

Pelakon berwajah Bollywood ini mengakui semakin selesa dan yakin untuk terus membawakan karakter jahat.

“Jika dulu, saya memang sangat risau kalau perlu membawakan watak jahat. Tetapi, selepas beberapa kali membawakan watak sebegitu, keyakinan untuk membawa watak jahat semakin meningkat.

“Malah, saya sudah tidak kisah lagi jika dibenci peminat kerana itu membuktikan lakonan saya ‘menjadi’,” katanya pada Zass.

Kata bintang Dahlia ini lagi, ramai peminatnya memberitahu dia sememangnya serasi dengan watak hitam yang dibawakannya.

“Ramai yang cakap, saya memang sesuai bawa karakter antagonis dek muka saya ini seperti muka wanita perampas.

“Riak muka saya nampak jahat agaknya itu yang membuatkan ramai pengarah lebih kerap menawarkan karakter sedemikian.

“Mungkin itu satu kelebihan jugalah,” katanya sambil tergelak.

Dek kecemerlangannya membawakan watak hitam, pelakon berusia 29 tahun itu sekali lagi diberikan kepercayaan oleh pengarah untuk memainkan watak antagonis melalui telenovela baru lakonannya, Cinta Ibadah.

Menjadi Ratna, kata Ilya, dia yakin lakonannya kali ini pasti membuatkannya lebih dibenci oleh penonton.

“Saya yakin penonton akan bertambah benci dan menyampah pada saya. Malah saya sendiri ‘benci’ dengan karakter yang saya bawa ini,” katanya yang menjadikan watak Loki menerusi filem Thor sebagai sumber rujukannya.

Selain Ilya, Cinta Ibadah turut menampilkan Fattah Amin, Aishah Ilias, Nor Albaniah, Sherry Ibrahim, Hisyam Hamid dan Sharolnizam dan bakal disiarkan mulai 8 September ini secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105), Maya HD (saluran 135), Ria PLUS dan Astro On The Go.

Rakan karib mangsa MH17

Sementara itu, Ilya yang juga bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) dari 2004 hingga 2009, turut terkesan dengan dua tragedi yang berlaku ke atas pesawat terbabit.

Katanya, di antara dua tragedi berkenaan, kejadian ke atas pesawat MAS, MH17 benar-benar memberikan impak yang sangat kuat ke atas dirinya.

Lebih memilukan lagi, tragedi MH17 mengorbankan rakan karibnya, Shoba bersama suami serta anaknya yang dijadualkan kembali ke tanah air bagi menghadiri perjumpaan semula mereka.

“Sebelum itu, Shoba pernah menghubungi saya dan membuat permintaan untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama saya.

“Shoba meminta hidangan sate untuknya menjamu selera.

“Sehingga kini, saya masih lagi sedih mengenangkan permintaannya itu,” katanya dalam nada sebak.

Jelasnya lagi, dia mendapat tahu berita berkenaan ketika dia sibuk dalam set penggambaran sekali gus menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.

“Masa itu barulah saya tahu, betapa susahnya menjadi seorang pelakon. Saya cuba kawal emosi saya agar ia tidak mengganggu lakonan saya.

“Setelah selesai, barulah saya menangis sepuas-puasnya dan menghubungi keluarga Shoba termasuk ibunya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");