Isu Panas

Rayuan kes rasuah Khir Toyo ditangguhkan

PUTRAJAYA: Rayuan kes rasuah bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo di Mahkamah Persekutuan hari ini telah ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Keputusan untuk menangguhkan kes tersebut adalah “atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan”, menurut ketua bahagian komunikasi korporat Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply.

Katanya, perkara ini hanya dimaklumkan kepadanya pada hari ini. Tarikh baru akan dimaklumkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan kemudian.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar hujahan daripada Dr Mohamad Khir yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Mei 30 tahun lepas.

Dalam keputusan itu, panel tiga hakim dengan sebulat suara telah menolak rayuan pertama Dr Mohamad Khir itu dan sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan penjara 12 bulan setelah mendapatinya bersalah atas dakwaan mendapatkan untuk beliau dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo pada harga RM3.5juta padahal harga sebenar pasaran adalah RM6.5juta.

Ketiga-tiga hakim itu menyatakan tiada kesilapan pada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Dis 2011.

Mahkamah tinggi sebelum ini mengarahkan Dr Mohamad Khir dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan menyerahkannya kepada kerajaan tetapi pelaksanaan hukuman beliau ditangguhkan atas sebab rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Mohamad Khir, 49, sebelum itu didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 47, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditmas Sdn Bhd melalui pengarahnya Shamsuddin Hayroni.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di keadiaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.

– Astro Awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");