Sukan Hari Ini

‘Saya mahu lihat calon’

AHMAD sanggup melepaskan jawatan jika terdapat individu berkaliber yang mahu mencabarnya sebagai Presiden PSM:-

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bersedia untuk memberi laluan jika ada individu lebih berkaliber mahu mencabarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu 13 September depan.

Ahmad yang telah menjadi Presiden badan induk itu sejak Disember 2002 berkata, beliau juga harus mengenali pencabarnya itu supaya individu yang dilantik mampu menjalankan tugasnya dengan penuh komitmen.

“Saya sedang berfikir lagi (untuk pertahankan jawatan) sehingga 2 September iaitu tarikh akhir untuk mereka yang dicalonkan membuat pengesahan bersetuju atau tidak untuk bertanding.

“Saya mahu lihat dulu siapa yang dicalonkan kerana sekurang-kurangnya individu yang berwibawa yang saya yakin boleh terus membangunkan PSM dan menjaga nama baik PSM (menjadi Presiden).

“Begitupun, jika calon itu dalam kalangan Ahli Majlis PSM, saya sudah pasti mengenali siapa yang boleh buat kerja dan siapa yang tidak boleh buat kerja.

“Jika ada individu seperti ini yang sanggup ‘turun’ berjumpa dengan pemain-pemain untuk memberikan kata-kata semangat, saya akan bagi peluang kepadanya,” kata Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Tarikh tutup pencalonan berakhir pada pukul 5 petang semalam dan sebanyak 17 ahli gabungan PSM telah menyerahkan borang pencalonan kecuali Pahang.

“Saya dimaklumkan perkara ini daripada Setiausaha Agung (Datuk Arshad Yahya). Borang pencalonan itu masih dalam sampul dan ia akan dibuka minggu depan.

“Tarikh pengesahan untuk bertanding telah dilanjutkan sehingga 2 September, kalau sebelum ini 27 Ogos, jadi saya rasa lebih baik tempoh bertenang dipanjangkan.

Berdasarkan perlembagaan PSM, hanya Presiden daripada 18 ahli gabungan PSM yang terdiri daripada persatuan-persatuan negeri, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Jawatan lain yang turut dipertandingkan pada AGM PSM bagi penggal 2014-2017 itu ialah Timbalan Presiden (satu kerusi) dan Naib Presiden (tiga kerusi).

Penyandang bagi jawatan Naib Presiden PSM keempat pula akan dilantik oleh Presiden yang mewakili Sabah atau Sarawak.

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");