Shah Alam: Kegiatan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penipuan bermodus operandi ‘fly-by-night’ iaitu menipu tanpa membayar barangan yang dipesan daripada pembekal tumpas dengan tertangkapnya lima individu di Taman Perindustrian Puchong, Rabu lalu.
Serbuan membabitkan penahanan suspek warga tempatan berusia 23 hingga 70 tahun itu yang turut membabitkan seorang wanita dibuat kira-kira jam 1 tengah hari di sebuah premis yang dijadikan pejabat syarikat berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, sindiket yang beroperasi dengan menggunakan nama sebuah syarikat perniagaan akan memesan alat ganti kenderaan daripada mangsa dan meminta tempoh kredit hingga 90 hari sebelum menghilangkan diri.
Menurutnya, seorang daripada lima suspek yang ditahan adalah ketua sindiket terbabit dan dia dikehendaki polis berhubung jenayah yang sama di beberapa negeri.
“Suspek yang berusia 64 tahun itu dikehendaki polis Johor sejak 1998 berhubung kes sama di Kota Tinggi serta pernah menjalankan aktiviti sama di Melaka dan Perak.
“Semua suspek kini direman empat hari bagi siasatan bermula 14 Ogos sehingga 17 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya di Sidang Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam.
Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak April lalu menggunakan dua nama syarikat berbeza bagi mengelakkan dikesan pihak pembekal.
“Hasil serbuan ke atas premis itu berjaya merampas 150 tong minyak pelincir 18 liter, 10 tong minyak pelincir 200 liter, 23 kotak minyak pelincir pelbagai jenama dan 10 tin minyak gris, enam tayar lori serta dokumen perniagaan yang dianggarkan berjumlah RM51,000.
“Kami kini juga sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan sebuah lagi syarikat yang terletak di Bandar Bukit Beruntung, Rawang kerana dipercayai menjalankan aktiviti yang sama,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, polis menerima 21 laporan berhubung syarikat berkenaan membabitkan kerugian RM900,000.
-Metro