Sukan Hari Ini

Untuk ibu!

hafifi

Ranjau ditempuhi atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor sebelum berjaya menghadiahkan pingat emas kepada negara pada temasya Sukan Komanwel Glasgow cukup berliku.

Dia hampir berputus asa namun kerana semangat dan kecintaannya terhadap sukan itu selain dorongan ibu dan rakan sekeliling menguatkan kembali tekadnya untuk terus berjuang.

Namanya kini mula meniti di bibir peminat sukan apabila menjadi penyumbang emas pertama kontinjen negara.

Ikuti temu bual bersama atlet kelahiran Terengganu berusia 24 tahun yang mengambil alih gelaran ‘badang negara’ daripada Amirul Hamizan dan Faizal Baharom.

Bagaimana perasaan anda selepas dikalungkan pingat emas pada temasya Sukan Komanwel yang lalu?

Terlalu gembira. Saya tidak boleh ungkapkan dengan kata-kata. Perasaan gembira itu semakin membuak apabila kepulangan saya disambut sebagai wira yang sebelum ini langsung tidak saya duga. Apa yang boleh saya katakan adalah sangat terharu. Terima kasih semua.

Adakah kemenangan itu sudah anda jangka atau sasarkan?

Ya. Memang saya letakkan sasaran mendapatkan pingat sebelum berlepas ke Scotland, tetapi perkara itu saya tidak hebohkan. Keyakinan itu saya maklumkan hanya kepada Datuk Seri Zolkpels Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) selain saya sematkan dalam hati.

Apa rahsia kejayaan anda?

Rahsia saya cuma satu. Ikuti semua nasihat dan tunjuk ajar jurulatih. Kejayaan ini adalah ramuan bimbingan Lukman yang berasal dari Indonesia. Saya yakin dengan tunjuk ajarnya kerana beliau pernah membimbing pemenang pingat perak dan emas Indonesia di Sukan Olimpik. Saya baru lapan bulan berlatih di bawah bimbingannya.

Kejayaan anda di Komanwel bakal memberi tekanan kerana ramai yang mahu meraih pingat di Sukan Asia Incheon. Apakah persediaan anda?

Benar, kemenangan ini sedikit sebanyak memberi saya tekanan. Tidak mudah untuk menang di Sukan Asia kerana saingannya lebih sukar terutama dari China, Indonesia dan Iran. Apa yang boleh saya lakukan adalah untuk memberi yang terbaik kerana untuk mendapatkan pingat bukan mustahil kerana angkatan saya tidak jauh daripada mereka.

Pelbagai ranjau anda tempuhi sebelum berjaya mencapai tahap seperti hari ini sehingga anda pernah mengambil keputusan untuk berhenti. Boleh anda kongsi masalah yang membelenggu anda ketika itu?

Masalah saya tercetus kerana jurulatih mendakwa saya ponteng latihan padahal ketika itu saya sudah maklumkan terpaksa menjaga nenek yang tidak sihat. Mujur ibu saya, Norizan Embong sentiasa memberi dorongan untuk saya terus berjuang dan ibulah menjadi nadi kejayaan saya hari ini.

Selepas insiden itu, apa yang mendorong anda untuk kembali dalam sukan angkat berat ini?

Datuk Seri Zolkples dan emak saya tidak putus beri galakan. Tanpa mereka mungkin saya tidak berjaya seperti hari ini.

Apakah perancangan anda selepas ini?

Saya akan ke Kejohanan Dunia di Kazakhstan November nanti dan akan cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016. Untuk melepasi syarat kelayakan, saya perlu mengangkat bebanan 140kg dalam acara snatch dan 148kg dalam clean and jerk.

Anda bakal menerima wang imbuhan RM80,000 di bawah skim hadiah kemenangan Sukan (SHAKAM) selain Imbuhan RM10,000 serta lot tanah daripada kerajaan Negeri Terengganu. Apa yang anda bakal lakukan dengan duit itu?

Saya akan menggunakan wang itu untuk membina rumah emak di Kuala Terengganu. Lot tanah pula akan saya simpan untuk masa depan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");