Berita Hari Ini

Untung suku kedua RHB Capital naik kepada RM739.1 juta

KUALA LUMPUR: Untung sebelum cukai RHB Capital Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2014 meningkat kepada RM739.1 juta berbanding RM553.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi lebih baik itu disandarkan kepada pendapatan yang meningkat kepada RM2.452 bilion berbanding RM2.339 bilion sebelum ini.

Mengikut RHB Capital, peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 16 peratus pada asas suku ke suku berikutan masuk kira semula susut nilai yang besar ke atas aset lain berjumlah RM112 juta pada suku kedua.

Pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak RM1.6 bilion, atau 4.3 peratus tahun ke tahun, berikutan 11.8 peratus kenaikan dalam pinjaman kasar konvensional.

“Secara keseluruhan, keuntungan bersih meningkat sebanyak 31.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1 bilion disokong oleh pertumbuhan jumlah pendapatan yang sihat, masuk kira semula susut nilai yang tinggi ke atas aset lain dan peningkatan yang ketara dalam caj susut nilai pinjaman,” katanya.

RHB Capital berkata jumlah asetnya sebanyak RM205.5 bilion manakala ekuiti pemegang saham mengukuh kepada RM17.8 bilion dan aset bersih sesaham meningkat kepada RM6.97 berbanding RM6.57 setakat 31 Disember 2013.

Selepas prestasi yang lemah pada suku pertama tahun ini, ekonomi global kembali pulih dan ini akan menyokong pertumbuhan ekonomi terbuka seperti Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Aktiviti pelaburan swasta di Malaysia dijangka kekal kukuh, didorong oleh pelaksanaan projek berkaitan infrastruktur di bawah Program Transformasi Ekonomi,” kata syarikat itu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");