SIAPA dapat menafikan keterampilan Morgan Freeman dalam arena perfileman di Hollywood? Berilah apa saja watak dalam genre filem mana sekalipun, pasti hasil lakonan anak kelahiran Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat ini sentiasa dapat ‘memancing’ perhatian.
Bukan itu saja, lakonan pemilik nama penuh Morgan Porterfield Freeman Jr ini juga sering diberi dinamik baharu yang tidak dapat dilakukan oleh pelakon veteran lain.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia kini antara penerima bayaran tertinggi di Hollywood sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan pelakon gred A yang lain seperti Harrison Ford, Sean Connery, Tommy Lee Jones dan Dustin Hoffman.
Kebiasaannya, wajah yang kacak dijadikan lesen untuk mencipta populariti, namun Freeman berjaya membuktikan tanpa wajah sekacak Richard Gere atau Mel Gibson dia juga mampu popular.
Ironinya, Freeman hanya menerima pencalonan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik bagi Anugerah Akademi pada 1989 menerusi filem Driving Miss Daisy setelah 20 tahun menjadi pelakon!.
Ini kerana pada masa itu, Freeman telah pun memegang pelbagai karakter di bawah arahan banyak pengarah ternama Hollywood.
Kata Freeman, industri perfileman Hollywood akan terus mencipta sejarah kerana kemenangan tidak lagi dimonopoli oleh satu warna kulit sahaja.
“Hollywood sekarang melibatkan semua orang di dunia ini,’’ katanya yang mula dikenali sejak tahun 1960-an lagi.
Sehingga kini, Freeman adalah pelakon kulit hitam yang disegani, malah dia juga diberi kebebasan memilih untuk muncul dalam mana-mana filem yang disukainya.
Apa pun, ketokohan Freeman sebagai pelakon sebenarnya terikat kuat dengan kepercayaan pengarah-pengarah Hollywood.
Bagaimanakah dia mampu mencapai kejayaan besar seperti ini? Jangan tidak tahu, Freeman sebenarnya juga adalah seorang pengkaji.
Dia amat gemar meneliti sejarah-sejarah lama berkaitan Perang Dunia I dan Perang Dunia II sebagai salah satu cara untuk mendapatkan penghayatan dalam lakonan.
Lihat saja aksi cemerlangnya menerusi pelbagai filem seperti Street Smarts (1987), Unforgiven (1992), The Shawshank Redemption (1994), Amistad (1997), Kiss the Girls (1997), Hard Rain (1998), Deep Impact (1998), Under Suspicion (2000), Bruce Almighty (2003), Unleashed (2005), Batman Begins (2005), Gone Baby Gone (2007), Wanted (2008), The Dark Knight (2008), dan Invictus (2009).
Selain itu, kemunculannya dilihat menerusi filem seperti The Contract (2007), The Maiden Heist (2009), Conan the Barbarian (2011), The Dark Knight Rises (2012), Oblivion (20w3), Now You See Mee (2013), Transcendence (2014) dan The Last Knights (2014).
Bakal bersara?
Sebagai bintang berpengalaman, khabar mengenai pengundurannya dari Hollywood membuatkan ramai terkejut.
Luahan aktor berusia 76 tahun itu, dikongsi bersama umum dalam temu bual dengan sebuah majalah, malah dia membayangkan hasrat bergelar petani andai tidak lagi berlakon.
Begitu pun, persaraannya daripada arena hiburan disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin teruk sehingga tidak mengizinkannya berada di lokasi penggambaran berjam-jam lamanya.
“Tahap kesihatannya semakin menurun. Walaupun tidak berdepan penyakit kronik, kecergasannya tidak seperti ketika muda dulu sekali gus ia mengakibatkan Freeman mahu pencen awal,” kata rakannya.
Pelakon yang sudah hampir separuh abad berada dalam dunia Hollywood ini, tidak lagi melihat wang sebaliknya sudah puas menikmati kehidupan glamor dan mahu lebih tenang pada hari tuanya.
Logik akal Freeman
Terbaru, Freeman bakal bergandingan dengan aktres cantik Scarlett Johansson dan pelakon Korea, Min-Sik Choi menerusi filem Lucy.
Filem arahan Luc Beeson itu, menggunakan logik akal dan hukum sains dalam menggerakkan keseluruhan plot dan bukan sekadar menonjolkan imaginasi atau fantasi semata-mata.
Kali ini, Freeman membawa watak cerdik pandai iaitu seorang pakar neurologi, Profesor Norman dan bakal menerangkan fungsi otak manusia. Lucy menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Taipei, Paris dan New York sejak September 2013.
Masih menggunakan elemen penyalahgunaan dadah, Lucy mengisahkan seorang wanita yang hidup di Taiwan dikelilingi mafia, kaki pukul, penagih dadah dan penyelewengan kuasa oleh polis.
Dadah yang diimplan di dalam perutnya adalah punca Lucy berubah menjadi seorang manusia dengan kuasa luar biasa.
Secara tiba-tiba Lucy mempunyai kebolehan menyerap maklumat dalam skala besar dan berupaya mengalihkan objek menggunakan minda. Apakah kesudahan nasib Lucy? Nantikan Lucy di pawagam mulai 21 Ogos ini.
-Sinar Harian