Sukan Hari Ini

YOG 2014: Malaysia masih gagal raih emas

yog 2014

KEMARAU pingat masih lagi menghantui kontinjen Malaysia selepas atlet negara meneruskan persembahan hambar pada hari keempat temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) di sini hari ini.

Walaupun perbelanjaan besar dikeluarkan, alasan kukuh mungkin disebabkan tiada sasaran khusus ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kecuali badminton yang disandarkan harapan untuk mengutip sekurang-kurang sebutir pingat namun sukan lain sepert renang, menembak dan olahraga menampilkan persembahan di bawah jangkaan.

Tidak seperti Malaysia yang membelanjkan sejumlah besar wang atas nama pembangunan sukan, negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan juga negara jiran, Singapura telah menempatkan diri mereka dalam carta pungutan pingat.

Thailand sudah mengumpul dua pingat emas, Vietnam satu manakala Singapura merangkul sebutir perak.

Sementara itu, China terus menguasai temasya dan melebarkan dominasi dalam carta pungutan pingat.

China kini bangga dengan 11 emas, empat perak dan lapan gangsa berbanding pencabar terdekat, Rusia, yang mengutip lapan emas, enam perak dan empat gangsa diikuti Itali di tangga ketiga dengan empat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Thailand muncul negara Asean terbaik dengan dua emas dan satu perak di tangga ke-14 setelah gagal menambah sebarang pingat hari ini.

Malaysia berharap mampu memenangi sebutir pingat gangsa esok apabila beregu campuran antarbangsa negara yang dibarisi oleh pemain badminton lelaki negara, Cheam June Wei akan berganding dengan pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau  dalam separuh akhir acara beregu campuran.

Cheam dan pasanganya dijadualkan menentang beregu dari Thailand, Narongrit Mek dan Qin Jinjing dari China pada aksi separuh akhir bagi merebut tiket ke final.

Skuad golf negara terus beraksi lesu apabila pemain wanita negara, Kelly Kah Kah hanya mampu  menduduki tempat ke-14 daripada 30 peserta pada perlawanan pusingan kedua di Kelab Golf Antarabangsa Zhongshan.

Low Khai Jei yang beraksi dalam acara individu lelaki pula terpaksa berpuas hati di tempat ke-21 daripada 32 peserta pada perlawanan pusingan kedua.

Kem olahraga negara yang memulakan cabaran di Stadium Olimpik Nanjing turut beraksi hambar apabila Mohd Rizzu Haizad Muhammad gagal dalam peringkat saringan acara 100m lari berpagar selepas penyertaannya dibatalkan oleh pengadil.

Norshafiee Mohd Shah yang beraksi dalam acara lompat tinggi lelaki turut gagal di peringkat kelayakan apabila hanya menduduki tempat ke-12 daripada 15 peserta dengan lompatan setinggi 2.03m.

Tumpuan negara esok masih kepada acara badminton, manakala atlet golf, menembak dan renang masih meneruskan pemburuan pingat pertama negara. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");