Berita Hari Ini

Zakat fitrah melalui SMS?

zakat

ZAKAT adalah sebahagian daripada syariat dan rukun agama Islam. Ia hak ALLAH SWT, disebabkan itu ia tidak boleh diberikan kecuali kepada orang ditetapkan ALLAH sebagai pihak yang berhak menerima.

Hukum mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib bagi seluruh Muslimin baik lelaki mahupun perempuan, bayi atau dewasa, hamba atau merdeka, namun tidak wajib mengeluarkan zakat bagi janin dalam rahim kecuali untuk sedekah sebagaimana yang dicontohkan Amirul
Mukminin Uthman bin Affan RA.

Zakat fitrah secara khasnya hendaklah diserahkan kepada yang berhak menerimanya sahaja iaitu dalam kalangan fakir miskin.

Pada hari ini dengan kecanggihan teknologi, kita melihat pelbagai inovasi dilakukan bagi memudahkan pengeluaran zakat. Antaranya adalah dengan pembayaran melalui SMS dan pemotongan kredit. Timbul persoalan; Bolehkah membayar zakat fitrah menggunakan SMS?

Membayar zakat fitrah menggunakan SMS memang mudah. Namun soalnya adalah apakah itu dituntut agama?

Adakah pembayaran zakat secara potongan duit (kredit) sebanyak beberapa ringgit itu menepati petunjuk Nabi SAW dalam melaksanakan ibadah ini?

Menurut mazhab Syafii yang tulen, bahkan praktik Nabi SAW sejak zaman Baginda SAW lagi, mereka semuanya membayar zakat fitrah dengan makanan asasi seperti gandum, kurma, kismis atau apa jua makanan asasi sesebuah negeri sebanyak 1sho’ (bersamaan 2.5 kilogram). Makanan asasi di Malaysia adalah beras. Maka bagi rakyat Malaysia, mestilah mendahulukan beras.

Demikianlah yang dipegang oleh golongan ulama seperti Imam Syafii dan imam-imam mazhab yang empat kecuali Abu Hanifah.

Sebahagian pihak mempertikaikan dan mengatakan, akan terlalu banyak beras jika setiap orang memberi zakat dengan beras, sehingga boleh roboh rumah si miskin. Oleh itu mereka mencadangkan untuk memberi wang ringgit atau benda lain.

Hakikatnya zakat dalam syariat agama ini ada pelbagai jenis. Selain zakat fitrah, di sana ada zakat harta, zakat perniagaan, zakat emas dan sebagainya di mana zakat-zakat itu semua (selain zakat fitrah) dikeluarkan dengan duit. Berbeza dengan zakat fitrah, syariat menetapkan ia dikeluarkan dengan makanan asasi sesuatu tempat.

Ia adalah suatu yang ditetapkan dan diajarkan oleh Nabi SAW, kerana itu telah menjadi kesepakatan ulama dalam mazhab Syafii dan menjadi muktamad dalam mazhab Syafii bahkan jumhur ulama termasuk mazhab Maliki dan Hanbali bersepakat dan bertegas tidak sah membayar zakat fitrah menggunakan duit, sebaliknya ia hendaklah dikeluarkan dengan makanan asasi.

Kita mesti berusaha untuk mendapatkannya dan perkara tersebut tidaklah susah.

Hikmah zakat fitrah dengan makanan asasi

Hikmahnya cukup jelas, iaitu untuk berbuat baik kepada fakir miskin dan mencegah mereka dari berlapar dan mengemis pada hari raya dan agar mereka merasai bersama-sama dengan orang kaya dalam kegembiraan dan kesenangan sehingga menjadi hari raya bagi seluruhnya.

Juga sebagai bentuk kebersamaan dan ukhuwah dengan akhlak mulia, juga untuk menyucikan bagi yang berpuasa dari apa yang dilakukan berupa keburukan, perbuatan sia-sia dan dosa, dan untuk menampakkan rasa syukur kepada nikmat ALLAH kepada mereka yang telah menyempurnakan puasa Ramadan dan menghidupkannya dan melakukan apa yang dimudahkan dalam melaksanakan amal soleh.

Membayar zakat fitrah kepada amil

Mana yang seharusnya kita lakukan, bayar zakat fitrah melalui amil atau membayar terus kepada fakir miskin? Sabda Nabi SAW: “(Zakat) diambil dari orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang-orang fakir di kalangan mereka.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Yakni harta diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka yang sama juga.

Hikmahnya besar. Zakat memupuk hubungan silaturahim, menghilangkan rasa hasad dengki, cemburu dan seumpamanya. Itu adalah tujuan asalnya.

Namun pada hari ini, apabila wujud pusat zakat dengan sistem tersendiri di mana setiap negeri memiliki cara dan prosedur masing-masing, dan pusat zakat ini mewajibkan orang ramai membayar zakat melalui amil, perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik pada keadaan semasa dan pada masa yang sama ada kebaikannya.

Kewujudan baitulmal yang diasaskan dan disistematikkan oleh Umar al-Khattab RA pada asalnya bertujuan sebagai satu kemaslahatan untuk menyusun semula cara untuk pengeluaran zakat.

Saya pernah berbincang dengan pegawai dari pusat zakat sebuah negeri, dia mengatakan ada kepentingannya zakat dibayar melalui pusat zakat;

Pertama, untuk mendidik masyarakat agar membayar zakat. Dengan membayar zakat melalui amil maka barulah mereka mengetahui statistik pembayar zakat.

Kedua, kita berhadapan dengan zaman di mana takwa manusia pada hari ini tidak sama dengan takwa sahabat Nabi SAW.

Sahabat Nabi SAW dahulu tidak perlu disuruh seperti mana kita disuruh untuk membayar zakat. Mereka, apabila cukup haul, cukup nisab mereka akan pergi mencari sendiri kepada siapa zakat harus diberikan. Berbeza dengan kita pada hari ini.

Atas dasar ini mereka membuat ketetapan, zakat mesti dibayar melalui amil supaya mereka mengetahui siapa yang membayar zakat dan siapa yang tidak membayar zakat.

Bahkan pelbagai keistimewaan telah diletakkan bagi orang yang membayar zakat, antaranya ialah bebas daripada cukai. Itu antara semangat dan motivasi kepada masyarakat agar mengeluarkan zakat.

Jadi saya katakan, jika kita melihat pada zaman Nabi SAW, ada kalanya zakat itu diberikan secara langsung kepada asnaf-asnafnya, dan ada kalanya diberikan melalui amil khususnya pada zaman Umar al-Khatthab RA.

Maka apabila kita menghimpunkan kedua-dua hal ini menunjukkan bahawasanya harus kita membayar zakat melalui amil dan harus juga kita memberi terus kepada orang yang berhak menerima.

Namun kita perlu mengambil kira perintah Nabi SAW supaya mentaati pemerintah dalam hal-hal yang makruf. Apabila pemerintah menyuruh kita membayar zakat melalui amil maka kita hendaklah membayar zakat melalui amil.

Selesaikan urusan yang itu dahulu. Hadis daripada Ma’an bin Yazid menceritakan kepada kita ayahnya (yakni Yazid) mengeluarkan beberapa dinar untuk sedekah lalu dia menitipkan wang tersebut pada seorang lelaki di masjid. Ma’an datang ke masjid mengambil sedekah dari orang itu, lalu dia pun datang kepada ayahnya sambil membawa wang itu.

Ayahnya berkata, ‘Demi ALLAH, aku tidak bermaksud memberikannya kepadamu’. Maka Ma’an mengadukannya kepada Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bersabda kepada mereka berdua: “Bagimu apa yang telah kamu niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa yang telah kamu ambil wahai Ma’an.” (Riwayat Bukhari)

Jadi kita tidak perlu memikirkan kepada siapakah wang zakat itu diberikan, di manakah wang zakat itu disimpan, untuk tujuan apakah ia digunakan, dan sebagainya. Sebaliknya tunaikan dahulu kewajipan membayar zakat tersebut.

Maka dalam rangka mentaati pemerintah, kita membayar zakat melalui amil pemerintah, dengan membayar menggunakan makanan ruji (khusus untuk zakat fitrah).

Adapun sekiranya kita hendak menambah dan bersedekah dengan memberi benda lain seperti wang dan sebagainya, itu termasuk dalam kategori zakat at-tathawwu’ iaitu zakat-zakat yang bersifat sunat (sedekah-sedekah sunat).

Sistem pengurusan zakat yang kurang meyakinkan

Saya difahamkan sahabat yang berada dalam pusat zakat negeri, mengatakan masalah pada hari ini ialah daripada jumlah zakat yang dikumpulkan, pengeluaran zakat untuk tahun itu hanya 50 peratus manakala 50 peratus lagi disimpan untuk kebarangkalian berlaku apa-apa awal tahun hadapan.

Ini masalah yang perlu diperbaiki, sepatutnya pengeluaran zakat dimaksimumkan. Kalau ditinggalkan 10 peratus pun sudah banyak untuk menguruskan kebarangkalian yang berlaku dan sebagainya. Hal seperti ini perlu diselesaikan.

Soal pusat zakat hendak membeli peralatan keperluan, terpulang kepada mereka, kalau memang perkara itu diperlukan. Kita tidak setuju dengan tuduhan negatif ke atas pusat zakat, cuma kita mencadangkan supaya pusat zakat di Malaysia ini; pertama, supaya menyelaraskan sistem zakat; dan kedua, menjelaskan kepada masyarakat bagaimana prosedur meminta zakat dan bagaimana prosedur pengeluaran zakat, kita mendengar banyak rungutan daripada orang ramai mengenai proses meminta zakat susah dan prosedur menyusahkan.

Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan pusat zakat sepenuhnya. Kerana di sana ada orang yang menipu, memberi maklumat palsu dan seumpamanya, itulah akibat dan kesannya. Apabila takwa berkurangan, berlaku penipuan, undang-undang yang dibuat manusia lama kelamaan menjadi semakin kompleks dan kehidupan menjadi semakin sempit. Semua ini akibat sikap manusia sendiri.

Maka perkara ini perlu diseimbangkan. Hendaklah kita saling membantu dan bekerjasama dengan memberi cadangan yang baik dalam usaha memperbaiki dan memperbetulkan kekurangan yang ada.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");