Sukan Hari Ini

Ahmad kekal jawatan Presiden PSM bagi kali ke-4

PENYANDANG Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail terus mengekalkan legasi kepimpinannya apabila sekali lagi terpilih menjawat kerusi nombor satu persatuan tersebut, lapor NORSHIKIN MOHD SALLEH.

Kemenangan itu sekali gus mencatatkan rekod Ahmad yang menerajui PSM bagi penggal keempat berturut-turut sejak 2002.

Kerusi panas itu menjadi perebutan dalam pertembungan satu lawan satu antara Ahmad dan bekas timbalannya, Mohd Shapian Ali yang akhirnya memihak kepadanya dengan majoriti undian 50:20.

Akui Ahmad meskipun agak terkejut dengan saingan yang diberikan, beliau optimis untuk meneruskan perjuangan memajukan sukan sepak takraw selaku sukan kedua popular di negara ini dengan barisan kempimpinan baharu.

“Proses (pemilihan) sudah berlalu. Saya masih perlukannya (Shapian) untuk membantu kita dalam memajukan sukan ini. Biarlah sukan takraw jadi cara lain berbanding sukan lain selepas pemilihan. Apa juga yang timbul sebelum ini, kita perbaiki.

“Saya juga amat bersyukur kerana buat pertama kali, saya memilih sendiri barisan kepimpinan yang saya percayai dan mereka juga menang pada pemilihan ini.

“Saya memilih untuk mempertahankan jawatan ini selepas melihat calon yang bertanding terdiri daripada ahli majlis sendiri. Saya sebagai penyandang Presiden PSM lebih tahu siapa yang betul-betul komited dengan tugas, siapa yang berkemampuan dan siapa yang boleh memberikan masa mereka untuk kepentingan PSM,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung PSM di Johor Bahru yang dihadiri 71 perwakilan.

Turut membarisi kepimpinan baharu PSM ialah Presiden Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramudin Aziz dilantik selaku Timbalan Presiden menewaskan Datuk Markiman Kobiran dengan undian 52:19.

Tiga Naib Presiden baharu yang turut dilantik pada pemilihan kali ini terdiri daripada Datuk Khairuddin Samad, Fudin Chee Kifli dan Mohd. Yusof Ismail, masing-masing merupakan Presiden Sepak Takraw Putrajaya, Sarawak dan Kedah.

Antara perancangan lain, PSM juga akan mengadakan Liga Sepak Takraw mulai November dengan memilih Terengganu sebagai lokasi pertama yang akan bersiaran secara langsung menerusi televisyen.

PSM sebelum ini seringkali dilanda krisis selepas banyak pihak mempertikai kredibiliti pucuk pimpinan yang diterajui Ahmad selepas skuad kebangsaan gagal meraih kemenangan utama pada kejohanan peringkat dunia terutama pingat emas Sukan Sea sejak 2005.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");