Laporan Eksklusif

Akses biar lebih inklusif

Kuala Lumpur: Malaysia perlu memiliki keupayaan institusi serta inovatif untuk memanfaatkan pertumbuhannya sendiri dan ia perlulah berterusan serta merentasi generasi.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, pertumbuhan juga perlu menyokong kualiti hidup secara optimum bagi mereka yang berada dalam ekosistem ekonomi.

“Akses kepada peluang mesti lebih inklusif dengan merentasi halangan sosioekonomi, terutama jurang kemiskinan,” titah baginda pada perasmian Forum Megatrend Khazanah 2014 di sini, semalam.

Titah baginda, dimensi pertumbuhan sosioekonomi sangat penting, dengan kejayaan negara wajar ditakrifkan menerusi hasil kejayaan individu dan kesejahteraan semua anggota masyarakatnya.

Ekonomi moden sudah menyempurnakan seni perakaunan ke atas nilai yang dijana oleh pengeluaran yang mengubah sumber kepada keluaran, titahnya.

“Bagaimanapun, beta percaya bahawa pertumbuhan dengan pengeluaran, menyediakan perspektif yang tidak lengkap kerana ia secara tersirat menandakan sumber yang tidak digunakan adalah sumber terbiar atau sia-sia dan tidak sengaja menggalakkan pengeluaran berlebihan atas perbelanjaan kemampanan,” titahnya.

Raja Nazrin bertitah, usaha mencari arah tuju pembangunan yang mampan bukan lagi suatu pilihan, tetapi keperluan dalam dunia yang dianggarkan mencapai jumlah penduduk 11 bilion menjelang akhir abad ini.

“Ia sangat mencabar memandangkan kita terus terikat dengan paradigma pemilikan sumber. Pengenalan hak peribadi ke atas sumber secara tidak sengaja mendorong kita untung menganggap diri kita sebagai pemilik sumber, dan oleh itu mengurangkan insentif untuk dikekalkan kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Walaupun ada pendapat mengatakan hak persendirian akan memastikan pemegang hak membayar kos penggunaan sumber, kajian menunjukkan bukan pemilik hak memberi perhatian yang lebih baik ke atas sumber berbanding mereka yang membayar untuk mendapat hak persendirian itu.

Menurut baginda, paradigma terbabit perlu diubah dan memihak kepada pandangan individu secara menyeluruh dan bukan pemilik sumber supaya keuntungan daripada sumber berkenaan adalah sementara dan sudah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan ia tidak musnah untuk turut dinikmati oleh generasi akan datang.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");