Jenayah

Anak lelaki sergah penyamun

KOTA BHARU – Tindakan pantas seorang remaja berusia 15 tahun menyergah seorang lelaki yang cuba menyamun ibunya, menyelamatkan wanita itu daripada menjadi mangsa jenayah.

Kejadian berlaku di tepi jalan Batu 4, Jalan Kuala Krai, di sini, berdekatan sebuah restoran makanan segera, berhampiran lampu isyarat cabang empat Tunjong, pada jam 9.15 malam, Khamis lalu.

Mangsa berusia 30-an sebelum itu memberhentikan keretanya dan turun berjalan menuju ke restoran makanan segera berkenaan untuk membeli makanan.

Secara tiba-tiba, datang tiga lelaki menaiki kereta jenis Perodua Kancil berhenti berdekatan mangsa sebelum seorang daripada mereka turun lalu mengacu pisau ke leher mangsa. Suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan dompet yang dipegangnya.

Anak lelaki mangsa yang menunggu di dalam kereta menyedari kejadian itu, kemudian bertindak pantas keluar daripada kereta dan menyergah suspek menyebabkan lelaki tersebut terkejut.

Remaja itu meluru ke arah suspek dan membantu ibunya yang sedang bergelut dengan suspek.

Suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Ketereh, cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya diberkas selepas orang awam menyedari kejadian tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan suspek.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine. Dua lagi rakan suspek yang melarikan diri masih diburu.

“Suspek kini direman sehingga 19 September ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");