Jenayah

Bapa baran dera dua anak

baran

Alor Gajah: Seorang pekerja kilang diberkas polis selepas disyaki mendera dua anak kandungnya berusia lapan dan 10 tahun di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, dekat sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka jam 3 petang Sabtu lalu untuk membantu siasatan.

Difahamkan, dua beradik lelaki yang tinggal bersama ibu tiri dan seorang adik tiri itu sering dibelasah bapanya yang panas baran setiap kali pulang kerja.

Sumber berkata, kedua-dua beradik yang belajar di tahun dua dan empat di sekolah sama itu sering dilihat menjauhkan diri daripada rakan sekelas sejak beberapa minggu lalu sebelum perubahan dikesan pihak sekolah.

“Dua beradik itu yang ceria sebelum ini mula hilang fokus terhadap pelajaran dan sering memulaukan diri. Mereka dihantar dan dijemput setiap hari oleh bapa.

“Bagaimanapun jam 10 pagi Khamis lalu, seorang guru menegur mangsa berusia lapan tahun kerana tidak dapat menulis dengan baik ketika menduduki ujian sebelum ternampak sebahagian jari kanannya cedera,” katanya, di sini, semalam.

Sumber berkata, guru terbabit yang curiga bertanya kepada murid itu namun terkejut selepas melihat sebahagian jari kanan mangsa cedera dan bengkak sebelum memaklumkan kepada pihak sekolah.

“Lebih mengejutkan, pemeriksaan menemui sebahagian badan mangsa lebam dan membengkak kemerahan selain terdapat beberapa jaluran panjang dipercayai akibat dirotan.

“Pihak sekolah kemudian memanggil abang mangsa di tahun empat untuk mendapatkan maklumat mengenai adiknya sebelum mendapati dia turut mengalami nasib yang sama,” katanya.

“Susulan kejadian, dua beradik yang cedera pada sebahagian jari dan seluruh anggota badan dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan ditahan di wad untuk rawatan selanjutnya.

“Mereka ditempatkan di wad kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Masjid Tanah dibuat pada Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, badan dua beradik itu terdapat kesan dipercayai didera bapa kandungnya sendiri.

“Susulan kejadian itu, bapa kandung mangsa ditahan ketika hadir di pekarangan IPK Melaka jam 3 petang Sabtu lalu untuk membantu siasatan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");