Membawang Hari Ini

Bila joyah dah goyah, Sejoli menang besar

Walaupun dirasakan tidak banyak cerita mengenai Jep Sepahtu disiarkan media mahupun filem lakonannya di pawagam, itu tidak bermakna popularitinya di mata peminat semakin pudar. Ini dibuktikan apabila dia sekali lagi mempertahankan keunggulannya dua tahun berturut-turut sebagai Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna 2014 (ALW 2014), Jumaat lalu.

Malam kemuncak yang berlangsung di Teater Selangor, Shah Alam itu turut menyaksikan Syarifah Sakinah diangkat sebagai Artis Lawak Wanita Paling Popular.

Anugerah itu disampaikan anggota kumpulan Senario – Wahid, Azlee dan Mazlan bersama Intan Ladyana.

Biarpun pernah menang beberapa anugerah berperstij sebelum ini, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin akui masih terkejut apabila namanya dipanggil ke pentas.

“Ikhlas cakap saya tak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menang. Namun saya tetap bersyukur kerana dengan izin Allah SWT, rezeki saya bertambah lagi tahun ini,” katanya.

Ujar anggota Sepahtu itu, kemenangan terbabit sudah tentu bukan miliknya tanpa sokongan kuat daripada peminatnya di seluruh negara.

“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat saya kerana sanggup mengeluarkan wang untuk mengundi saya. Anda semua memang luar biasa walaupun saya menganggap diri ini biasa-biasa saja,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan kariernya, Jep bakal muncul bersama Shuib dalam program lawak Maharaja Lawak Mega 2014 yang bakal disiarkan dalam masa terdekat.

Kemeriahan kumpulan itu bertambah dengan kehadiran seorang anggota baru yang juga rakan Jep.

Sakinah ketika ditemui selepas malam kemuncak ALW 2014 turut terkejut terpilih sebagai pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular kerana menyangka Jihan Muse akan menjuarai kategori itu.

Mati-mati saya ingat Jihan akan menang kerana dia berbakat dan seorang yang sangat kelakar,” katanya.

Malah, Sakinah turut me–ngundi Jihan bagi kategori berkenaan kerana merasakan pelawak itu layak menerima anugerah itu.

“Mungkin peminat yang mengundi adalah pengikut akaun Instagram saya. Ini kerana pengikut saya mencecah ratusan ribu walaupun separuh daripadanya adalah pembenci atau ‘haters’,” katanya.

Namun di sebalik kegembiraan terhadap pencapaiannya itu, pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar itu bimbang kemenangan itu akan mencetuskan isu.

“Saya takut banyak pihak akan mempersoalkan mengenai anugerah ini kerana tidak pandak buat lawak. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dan memandang positif perkara ini. Saya akan terus bekerja keras,” katanya.

Sementara itu, Sakinah berkata, kemenangan itu memberi semangat kepadanya untuk terus belajar mengenai komedi serta mempertingkat–kan lakonan lawaknya pada masa akan datang.

“Masih banyak yang perlu saya belajar dan saya mahu orang ramai melihat bakat saya seiring anugerah yang saya terima ini,” katanya.

Malam kemuncak ALW 2014 membuka tirai majlis dengan persembahan oleh pengacara Datuk AC Mizal yang menyanyikan single terbarunya berjudul Paranoid bersama selebriti popular Indonesia, Luna Maya. Persembahan menarik pada malam itu termasuk Amir Jahari yang berduet dengan Elizabeth Tan menyanyikan lagu Frozen.

Ajak dan Shahrol daripada kumpulan Shiro turut memeriahkan suasana dewan de–ngan gelagat lucu serta lawak spontan mereka.

Anggota SYJ dan Jihan pula menghiburkan penonton de–ngan sketsa ala-ala P Ramlee.

Paling menarik, kumpulan Lipan Bara yang dianggotai Yus Jambu, Tauke Jambu, Jep Sepahtu dan Shuib Sepahtu bergabung bakat membuat per-
sembahan pada penutup maj–lis.

Buat kali pertama, penonton menyaksikan barisan pelawak itu menyanyi sambil bermain band. Siapa sangka vokal pelawak ini mantap, setaraf pe–nyanyi profesional.

Sejoli gondol enam anugerah

Anugerah Lawak Warna (ALW) 2014 yang berlangsung di Teater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu menyaksikan filem Sejoli terbitan Primeworks Studios mengondol trofi untuk enam anugerah.

Karya arahan Osman Ali itu meraih trofi bagi kategori Filem Komedi Terbaik, Pengarah Komedi Terbaik, Lakon Layar Terbaik serta Skrip Komedi Filem Terbaik. Filem itu turut melayakkan Bront Palarae dan Maya Karin masing-masing menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Selain itu, drama Bila Joyah Dah Goyah menang lima kategori iaitu Rancangan Komedi Terbaik Bukan Bersiri, Skrip Komedi Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Jamal Khan).

Ia juga termasuk anugerah Pelakon Lelaki Komedi Terbaik yang dimenangi Kazar Saisi dan Pelakon Komedi Wanita Terbaik disandang Jasmin Hamid.

Selain itu, ALW kali ini menyaksikan Anugerah Khas Juri Lagenda diberikan kepada pelawak terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat dan Hamid Gurkha.

Anugerah sama untuk Pencapaian Komedi Sepanjang Zaman dihadiahkan kepada kumpulan Senario.

Anggotanya, Wahid mencuri tumpuan penonton apabila dilihat mengesat air mata sebaik sahaja Senario di–umumkan pemenang anugerah itu.

Sementara itu, Segmen Komedi Radio Paling Popular dimenangi Johara Pagi Era bagi program Sketsa Johara.

Bertujuan mengiktiraf pelawak tanah air, ALW 2014 mempertandingkan 15 kategori terbaik, tiga anugerah popular dan dua Anugerah Khas Juri.

Pada ALW lalu, filem Istanbul Aku Datang memenangi anugerah bagi Filem Terbaik, Pelakon Komedi Wanita Terbaik Filem (Lisa Surihani), Lakon Layar Komedi Filem Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Bernard Chauly).

Malam kemuncak ALW 2014 turut menyaksikan Datuk AC Mizal dan Nabila Huda bertindak sebagai pengacara.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");