Membawang Hari Ini

Cuma salah faham

Dia dikatakan mahu bersara dari dunia seni, tetapi hakikatnya perkara itu tidak benar hingga memaksa Fathia Latiff, 27, tampil memberi penjelasan.

Agak lama menyepi, Fathia tampil mengatur fotografi bersama Selebriti Metro Ahad untuk memberi ruang kepadanya membetulkan tanggapan umum terhadap kerjayanya.

Fathia juga tidak menyalahkan media yang menyiarkan berita mengenai dirinya mahu bersara hingga menjadi isu besar. Malah, katanya, ia sekadar memperjelaskan me­ngapa dia menyepi kebelakangan ini.

Bagaimanapun, kata Fathia, dia tampil membuat penjelasan kerana risau perkembangan itu boleh menjejaskan kerjayanya.

“Kadangkala orang hanya membaca tajuk artikel tetapi tidak membaca isi kandungan sepenuhnya. Apabila dikatakan saya mahu bersara walaupun dengan tanda soal, ia akan me­ngelirukan pembaca.

“Saya bimbang apabila ada membuat telahan hanya berdasarkan tajuk utama kerana ia akan menimbulkan salah faham.

“Contohnya, syarikat yang me­lantik saya sebagai duta mereka kerana saya baru menandatangani kontrak sebagai wajah Avon untuk kempen haruman mereka. Apabila isu saya bersara diperbesarkan sehingga tersebar di laman sosial, tentu ia membuatkan mereka risau.

“Apabila menjadi wajah produk kecantikan mereka, tentu syarikat terbabit mahu wakilnya terus aktif di samping membawa jenama mereka kepada umum dengan lebih meluas.

“Jika duta mereka tidak lagi bergelar pelakon atau selebriti dan tiada keistimewaan lain, buat apa mereka melantik seseorang itu sebagai wajah mewakili mereka. Perkara itu saya sangat faham kerana ia sebahagian daripada kerja dan tugas saya,” kata­nya.

Fathia mengakui perkara itu timbul apabila sebelum ini setiap kali bertemu beberapa pihak yang bertanyakan perkembangan dirinya, dia menjawab sedang bercuti rehat.

Begitu juga apabila dia menemani Aiman Hakim Ridza ke lokasi dan berjumpa rakan, mereka bertanya mengapa dia tidak berlakon dan Fathia menjawab mahu berehat. Kalau ada tawaran yang datang, begitu juga jawapan diberi.

“Saya cuti berehat perkara biasa. Sejak awal pembabitan dalam dunia seni, jadual kerja saya memang begitu memandangkan pada waktu sama saya masih belajar dalam bidang perundangan.

“Pengajian saya belum tamat dan disebabkan itu, saya selalunya membahagikan masa. Saya hanya terima tawaran berlakon drama bersiri pada cuti semester panjang dan kalau pada hari kuliah, pembabitan saya hanya untuk fotografi atau penggambaran telefilem yang tidak mengambil masa panjang,” katanya.

Dalam heboh orang bercakap me­ngenai dia mahu bersara, Fathia meluahkan rasa lega kerana dalam waktu terdekat dia akan kembali ke lokasi menjayakan penggambaran drama bersiri Bercinta untuk TV3 yang bakal mengisi slot Samarinda.

Fathia akan digandingkan dengan hero baru dan dijangka untuk siaran akhir tahun ini. Dia berharap apabila drama itu disiarkan, peminat akan tahu kedudukan sebenar bahawa dia sebenarnya masih dan mahu terus berlakon.

“Dulu saya memang menganggap bidang lakonan sebagai satu keinginan disebabkan sekarang ini saya masih belajar. Namun sebaik pengajian tamat, saya merancang dan mengatur untuk terus aktif dalam bidang ini dan menjadikan dunia lakonan sebagai kerjaya tetap,” katanya.

Sudah lama tidak beraksi di layar lebar, Fathia akan kembali dengan membintangi filem terbitan Datuk Raja Rezza Shah atau Shah Reza, Puteri Limau Purut yang dijangka memulakan penggambaran pada April tahun depan.

Perasaan teruja turut dirasai Fathia sebaik dikhabarkan projek yang dirancang sekian lama akhirnya akan dijalankan dalam waktu terdekat kerana kerja-kerja post-produksi awal semakin selesai.

“Saya sudah bertemu penerbit dan pengarah. Malah, beberapa pelakon utama disenaraikan dan saya akan digandingkan dengan Zul Ariffin. Turut membintangi filem ini ialah Awie dan Fazura.

“Sebagai Puteri Limau Purut, saya harus tahu menari dan bersilat. Untuk itu, saya harus menjalani beberapa latihan intensif selama tiga bulan. Kami juga akan menziarah makam dan mengenali watak dengan lebih mendalam,”katanya.

Sebagai pelakon, Fathia akui sa­ngat menantikan peluang beraksi dalam filem epik seperti Puteri Limau Purut. Sebelum ini dia pernah terbabit dalam teater bangsawan kontemporari Bidasari.

“Saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya kerana peluang diberi, tetapi tempoh singkat menjalani latihan dalam menjayakan pementasan itu menyebabkan persembahan saya kelihatan kurang meyakinkan.

“Namun, ia menjadi tapak permulaan. Dengan latihan lebih intensif untuk menjayakan watak Puteri Limau Purut, diharapkan ia mampu memberi impak apabila siap kelak.

“Sebelum ini dua filem yang pernah saya bintangi gagal mengang­kat bakat saya sebagai pelakon filem dan tentu saya meletak harapan tinggi pada Puteri Limau Purut. Saya mahu bekerja keras sepanjang menjayakannya,”katanya.

Mengenai pemilihannya memegang peranan utama, Fathia akui penerbit mencari pelakon asal dari Perak kerana Puteri Limau Purut berasal dari negeri itu.

Katanya, mungkin ini dikatakan tuah anak Perak dan menganggapnya satu penghormatan.

“Pihak produksi begitu teliti sampaikan untuk berlakon pun mereka mencari mereka yang ada darah anak Perak. Saya sudah melihat beberapa persiapan, terutama baju yang bakal dikenakan untuk setiap watak. Ia nampak mewah. Setiap perincian diambil kira dan saya tidak mahu mensia-siakan usaha besar yang bakal dilaksanakan,” katanya.

INFO:

– Nama sebenar: Nur Fathia Abdul Latiff
– Anak sulung daripada tiga beradik
– Mewarisi kejelitaan ibunya, Badriyah Hassan campuran Arab Melayu
– Sama-sama belajar undang-undang dengan adik, Farhana di UiTM Shah Alam, Selangor
– Bermula sebagai pelakon iklan Sunsilk pada usia 21 tahun
– Diberi peluang berlakon sebagai Nabila, kawan baik Nur Amina dalam drama Nur Kasih pada 2009
– Filem: Al-Hijab (2011), Darah Panas (2012)
– Drama: Hani, Nur Kasih, Laila Asyikin, Stanza Cinta, Dalam Setiap Sujud, Diandra, Bertaut Kasih
– Drama adaptasi novel The Wedding Breaker, Ariana Rose menjulang namanya sebagai pelakon
– Dikatakan bercinta dengan pelakon Aiman Hakim Ridza

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");