Membawang Hari Ini

Dulu besar sekarang kecil

Faktor berat badan yang melampau atau obesiti sememangnya mendorong ke arah masalah kesihatan.

Akibat gaya hidup tidak sihat selain tabiat pemakanan tidak terkawal membuatkan sesiapa saja mudah terdedah dengan penyakit.

Obesiti yang tidak me­ngenal usia ini pastinya membawa impak kepada mereka yang pernah menghadapinya.

Bagi selebriti, kesannya tentu lebih hebat. Kadang-kadang tekad mahu mengurangkan berat badan mendatangkan tekanan kepada mereka.

Tidak kiralah sama ada selebriti tempatan atau antarabangsa, masing-masing pasti ada cerita obesiti tersendiri.

Ikuti kisah mereka dan diet diamalkan hingga akhirnya berjaya mengucap selamat tinggal pada ‘obesiti’

Aizat Amdan (Penyanyi)

“Saya berhadapan masalah obesiti sejak kanak-kanak dan berlanjutan sehingga remaja.

“Apabila usia makin meningkat, ketika itu apa yang dapat saya rasakan sudah tentu faktor kesihatan yang kurang baik. Jadi, ia membuat­kan saya nekad mahu lebih sihat seperti orang lain.

“Niat utama saya kuruskan badan ialah nak jadi sihat. Tidak terfikir langsung ke arah penampilan lebih kacak atau mengejar populariti.

“Saya ambil inisiatif me­ngawal pemakanan harian dan diet secara sihat. Pada permulaan diet, saya langsung tidak menjamah nasi dalam tempoh agak lama.

“Pun begitu, saya tetap amalkan pemakanan yang sihat dan pastikan bersenam setiap hari. Memandangkan saya individu yang berat badan mudah naik, faktor utama untuk kekal kurus ialah kawal pemakanan.

“Meskipun, kini saya sudah terkeluar daripada beleng­gu masalah obesiti, cabaran dihadapi ialah bagaimana hendak mengekalkan berat badan sekarang. Apa yang dilakukan, saya jaga makan dan bersenam setiap hari,” katanya .

Soo Wincci (Bekas Ratu Cantik Malaysia & penghibur antarabangsa)

“Ketika berusia 10 tahun, berat badan saya pernah mencecah sehingga 55 kilogram (kg). Saya adalah budak paling besar di sekolah dan sering kena buli dengan kawan lelaki. Saya juga ada sikap tidak yakin pada diri.

“Apabila melangkah ke sekolah menengah, saya nekad mahu kurus dan sanggup diet dengan cara tidak betul. Kesudahannya, diet itu memakan diri dan saya mengalami masalah kesihatan lain.

“Sewaktu melanjutkan pengajian di luar negara, disebabkan tekanan belajar berat badan saya pernah mencecah lebih 70 kg. Jadi, saya ambil pil diet dan ia tidak berkesan.

“Oleh kerana saya mahu menyertai pertandingan ratu cantik Malaysia, saya guna pendekatan diet tradisional iaitu kawal pemakanan. Saya mengira jumlah kalori dalam makanan dan pastikan tidak melebihi 1,200 kalori setiap hari.

“Kini, saya juga seorang vegetarian. Bahkan sekarang di Taiwan, saya amalkan diet dua hari saja ia­itu pada hari pertama, saya hanya makan satu kg epal hijau tanpa meminum air atau makan apa-apa.

“Tujuan tidak minum air itu bagi me­ngurangkan air dalam badan kerana wanita biasanya gemuk air. Manakala, hari kedua pula saya hanya minum satu liter susu rendah lemak saja.

“Kalsium pada susu bertindak membakar lemak. Jadi, sekarang ini diet yang efektif kepada saya yang dilakukan setiap hujung minggu. Menerusi diet ini, dalam dua hari saya boleh turun sebanyak dua kg,” katanya.

Ieda Moin (Penyanyi)

“Saya alami masalah berat badan selepas melahirkan anak dengan berat mencecah 64 kg.

“Selama lima tahun saya berusaha untuk kurus. Pelbagai produk dan makanan kesihatan pernah saya cuba tetapi tidak membawa sebarang kesan.

“Akhirnya, saya memilih langkah positifkan fikiran, jaga pemakanan dan amalkan senaman. Bahkan, sekarang saya juga amalkan makan jamu yang sesuai dengan saya.

“Apapun, langkah permulaan saya ialah tidak makan nasi dan mi kuning selama lima bulan. Saya juga kurang­kan minuman bergula dan ais.

“Selain itu, saya juga guna pendekatan kenal pasti makanan sesuai mengikut jenis kumpulan darah. Malah, saya juga sering motivasikan diri dengan melihat pakaian lama zaman anak dara.

“Itulah yang menjadi pemangkin semangat saya untuk kurus dan hasilnya kini berat badan saya ialah 44 kg. Apapun, kunci utamanya mesti berfikiran positif,” kata­nya.


Dafi Ismail Sabri (Penyanyi/ pelakon)

“Saya pernah bertubuh gempal ketika berusia 13 hing­ga 16 tahun. Ia adalah satu kenangan buruk dalam hidup saya. Setiap hari, saya menjadi mangsa ejekan kawan-kawan.

“Mujur ketika tingkatan lima, berat badan saya turun mendadak dan terus kurus. Bahkan, sebagai usaha untuk kekalkannya saya pernah tak makan nasi setahun.

“Saya gantikan dengan mengambil makanan lain untuk tenaga. Malah, saya juga amalkan bersenam setiap hari serta ke gimnasium.

“Memandangkan saya ini jenis individu yang metabolisme badan cepat naik, maka saya harus bijak me­ngawal pemakanan harian.

“Bahkan, saya juga turut berterima kasih kepada rakan yang banyak memberikan sokongan supaya berusaha kuruskan badan. Sekarang, saya cuma pastikan berat badan takkan naik macam dulu lagi,” katanya.


Chef Zam (Chef selebriti)

“Saya berbadan besar sejak kanak-kanak hinggalah dewasa. Apatah lagi, terbabit pula dalam bidang kulinari menyebabkan saya lagi terdedah kepada pelbagai juadah makanan.

“Disebabkan saya juga suka makan membuatkan memang sukar untuk diet dan menurunkan berat badan. Pernah juga saya berdiet tetapi segala usaha itu tidak membuahkan hasil.

“Berat badan saya pula ketika itu mencecah 136 kg dan memikirkan faktor kesihatan perlu diutamakan saya me­ngambil langkah melakukan pembedahan pintasan gastrik iaitu kaedah memendekkan usus.

“Saya melakukan pembedahan ini pada 2007 de­ngan kos sebanyak RM18,000. Sekarang, berat badan saya sekitar 76 kg dan bagi mengekalkannya saya melakukan senaman setiap hari.

“Apapun, saya tiada pantang dalam makanan. Semua makanan saya akan makan tetapi dalam kuantiti yang terkawal.

“Setakat ini, tahap kesihatan saya juga dalam keadaan baik. Begitu juga saya tiada masalah kolestrol berlebihan.

“Saya tidak malu untuk berkongsi kisah obesiti ini kerana ia sebahagian daripada pengalaman hidup. Ia perkara yang pernah saya lalui dan tidak salah jika berkongsi perkara yang boleh memberi iktibar pada masyarakat,”katanya.


Aishwarya Rai (pelakon)

Meskipun pernah meng­gondol gelaran Ratu Cantik Dunia, siapa sangka Aish­warya pernah mengalami masalah obesiti selepas melahirkan anak sulungnya Aaradhya pada 2011.

Pernah dikecam hebat kerana kegemukan itu membuatkan dia tidak lagi jelita seperti dulu sedikit pun tidak menyebabkan Aishwarya berasa putus asa.

Dia yang menggunakan pendekatan berdisiplin dalam mengawal pemakanan hariannya cukup komited pada diet dilakukan.

Bahkan, dia lebih memilih nasi beras perang yang tiada kanji. Aishwarya juga lebih mengutamakan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan jus sebagai juadah hariannya. Selain itu, Aishwarya juga peka pada jumlah kalori makanan yang dimakannya.

Tidak ketinggalan, isteri kepada Abhishek Bachchan itu turut memastikan dia melakukan senaman yoga setiap hari.


Jordin Sparks (Bintang American Idol)

Kemunculan Jordin Sparks di pentas American Idol 6 pada 2007 ketika dia berusia 17 tahun dan bertubuh gempal.

Namun, kemantapan vokalnya membuatkan dia layak bergelar juara. Pun begitu, menyedari usianya yang masih muda dan kerjaya nya­nyian yang makin me­nyerlah membuatkan Sparks me­ngambil langkah me­nguruskan badan.

Begitu menjaga soal pemakanan harian, Sparks yang kuat bekerja berkata, itu sebahagian daripada senaman baginya. Bahkan, Sparks akan terus berhenti makan apabila sudah ke­nyang.

Apapun, rahsia kelangsi­ngan tubuh Sparks juga dipengaruhi dengan minatnya terhadap tarian. Dia mengikuti kelas tarian zumba yang dikendalikan rakan ibunya.

Menjadi kebiasaan Sparks akan bersenam selama 30 minit setiap hari dimulakan dengan memanas badan, berjalan, joging dan diakhiri dengan tarian zumba.

Jennifer Hudsons (pelakon)

Jennifer Hudsons juga sebahagian daripada bintang ternama Hollywood yang berhadapan masalah obesiti.

Selama empat tahun sejak 2011, Hudsons berjuang menurunkan berat badannya. Kini, Hudsons berpuas hati kerana impiannya jadi kenyataan dan berat berjaya diturunkan sebanyak 80 kg.

Hasil diet dilakukan dia mengakui sangat terkejut dan teruja dengan hasil bentuk badan menawan yang dimiliki kini.

Katanya dia tidak pernah menyangka akan memilki tubuh yang menawan seperti sekarang. Apatah lagi, berjaya menurunkan jumlah beratnya dalam kuantiti besar.

Berfikiran positif, Hudsons mengakui dia mengikut kata hatinya supaya berusaha untuk menguruskan badan. Dia ambil langkah berdiet.

Ujarnya, perkara itu pada awalnya memang sukar tetapi dia memasang tekad yang ting­gi. Katanya dia mahu kelihatan menawan dalam apa saja saiz pakaian.

“Saya selalu inginkan berasa selesa pada setiap pakaian yang digayakan. Tidak kiralah apa saiznya tetapi saya mahu kelihatan cantik dan menawan,” katanya.


Kelly Osbourne (Pelakon dan personaliti televisyen)

Turut mempercayai diet dapat membantu mengeluarkan dirinya daripada masalah obesiti, Osbourne kini gembira kerana segala usaha gigih dilakukannya membuah hasil.

Jika pada 2004 lalu, dia tampil dengan imej bertubuh gempal dengan wajah yang kurang menawan, kini Osbourne sudah mampu tersenyum lebar.

Mengamalkan diet sejak beberapa tahun lalu, kini Osbourne gembira kerana dia berjaya kehilangan berat badan sebanyak 70 kg.

Sedia berkongsi diet diamalkan, Osbourne yang tampak cantik dan sihat memaklumkan dia berusaha keras untuk kurus.

Selain melakukan senaman setiap hari, Osbourne mengakui dia begitu menjaga jadual pemakanan hariannya.

Berkongsi jadualnya, Osbourne mengakui dia akan makan hidangan berat seperti piza ketika bersarapan pagi. Manakala, hidangan tengah harinya pula adalah salad dan makan malam pula adalah hidangan berasaskan gandum.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");