Laporan Eksklusif

Generasi terdidik berwawasan

najib lagi

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam merumuskan beberapa objektif utama dalam membangunkan pendidikan tinggi negara termasuk mewujudkan pusat penjanaan ilmu, membentuk generasi terdidik serta menggunakan tenaga negara untuk memenuhi wawasan negara.

Beliau berkata, menerusi kewujudan pusat penjanaan dan khazanah ilmu yang tertinggi, ia mesti bertapak di negara ini seterusnya diperkembangkan.

Katanya, selain itu, generasi pada masa akan datang juga perlu dipastikan adalah terdidik bukan semata-mata mempunyai kelulusan akademik tetapi mereka benar-benar terdidik.

“Apabila menyebut mengenai generasi akan datang, bagaimana rupa dan bentuk mereka? Dalam soal legasi, masa depan anak cucu, perkara ini menjadi tugas kita.

“Mengenai soal guna tenaga negara, kita mahu guna tenaga yang dapat membawa, mengisi segala wawasan negara, transformasi dan cita-cita dalam abad ke-21.

“Persaingan global semakin sengit, ini menuntut kita menjana, melahirkan guna tenaga yang boleh ditempatkan sebagai mereka yang mempunyai kemampuan serta syarat cukup dalam persaingan global,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara 2013 kepada Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) dari 1971 hingga 1982 iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba.

Sementara itu Najib berkata, golongan akademik juga berperanan dalam proses inovasi negara malah mereka digalakkan melaksanakan penjanaan kekayaan melalui inovasi.

“Kita mesti memupuk kerjasama antara akademia dan industri. Sekiranya kita meminta pihak industri kecil dan sederhana (SME) membuat inovasi produk dan sebagainya, tetapi mereka tidak tahu.

“Mereka boleh merujuknya kepada akademia dan universiti. Universiti dengan geran dibiayai boleh menyediakan penyelesaian inovatif yang boleh membawa syarikat itu lebih berjaya kerana lebih berinovatif dapat menjual produk baru,” katanya.

Mengenai majlis pengiktirafan semalam Najib berkata, majlis berkenaan bukan sekadar pengiktirafan sumbangan dan ketokohan kepada golongan akademik semata-mata malah ia melonjakkan imej dan kemasyhuran pendidikan Malaysia di peringkat global.

“Saya yakin inisiatif berterusan ini akan memberi rangsangan kepada ahli dan tokoh akademik kerana tiada anugerah lebih bermakna dan berprestij daripada AAN ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");