Berita Hari Ini

GST giat aktiviti eksport negara

PELAKSANAAN Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan akan memberi impak positif terhadap aktiviti eksport ke negara-negara sekitarnya.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong berkata, hanya tiga negara Asean yang masih tidak melaksanakan GST iaitu Malaysia, Myanmar dan Brunei.

“Manakala, negara Asean lain yang melaksanakannya telah menikmati sifar cukai bagi eksport. Secara tidak langsung, ia merancakkan lagi eksport negara untuk menjadi lebih berdaya saing di pasaran global memandangkan tiada GST dikenakan ke atas barangan eksport.

“Menerusinya harga barang boleh dikurangkan dan boleh membawa kepada peningkatan permintaan, yang sekali gus membantu menambah jumlah jualan,” katanya selepas pelancaran Seminar GST Anjuran Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia (MGWMA), Persatuan Pengusaha-pengusaha Pakaian Malaysia (MGMA) dan Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia (MGPA) di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas berhubung perisian GST, Tee Yong berkata, bagi peringkat permulaan kerajaan telah melantik 56 pembekal perisian dan telah menambah 58 lagi pembekal perisian, baru-baru ini.

Menurutnya, tiada monopoli oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebaliknya, kerajaan mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk membekal perisian untuk meningkatkan daya saing harga di pasaran.

Katanya, sehingga kini, terdapat 26 syarikat pembekal perisian yang menawarkan harga RM2,000 ke bawah, 45 syarikat di antara RM2,000 hingga RM10,000. Manakala selebihnya RM10,000 ke atas.

Berdasarkan kepada statistik pendaftaran sehingga kelmarin, sebanyak 56,400 syarikat telah mendaftar GST.

“Jumlah itu bertambah selepas penganjuran pelbagai seminar taklimat kesedaran GST yang menyumbang kepada purata 200 hingga 300 pendaftaran sehari.

“Jika trend pendaftaran itu dapat dikekalkan, jumlah itu akan meningkat sehingga melebihi 300,000 pendaftaran menjelang akhir tahun ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");