Membawang Hari Ini

Konsert ketiga AF2014 membosankan!

Selepas tiga minggu berlangsung, konsert ketiga Akademi Fantasia 2014 (AF2014) terus mempamerkan prestasi yang tidak konsisten. Senang cakap, konsert yang membosankan.

Hakikatnya demam AF2014 belum betul-betul dirasai dan penonton belum mendapat kepuasan.

Justeru, menjadi tanggungjawab Astro selaku penerbit untuk mencari ramuan bagi memastikan konsert mingguan mencapai standard yang diharapkan.

Apa tidaknya, elemen persembahan dan gimik menarik masih gagal membantu mengangkat kembali status AF sebagai program realiti paling popular tanah air.

Kualiti pelajar pula sangat mengecewakan. Vokal yang hancur kecuali Ewal dan Firman yang boleh dibanggakan.

Bayangkan bila pengkritik tetap, Datuk Ramli MS menegur dengan muka kecewa sambil berkata vokal kedengaran teruk.

Entah macam mana pilihan pelajar dibuat ketika ujibakat dulu. Harapkan rupa tapi bakat ke laut akhirnya.

Vokal sederhana, menyanyi tidak ada perasaan dan tarian pula tidak seiring dengan penari latar. Sudahlah ada pelajar dijadikan badut di atas pentas.

Kalau berterusan macam ini, memang ramai yang akan memilih untuk menonton Liga Perdana Inggeris yang ditayangkan sama waktu dengan AF2014.

Kejutan penyingkiran pula sudah dijangka sejak awal lagi. Cuma kalau boleh singkir lebih daripada satu, dua atau tiga pelajar kerana prestasi mereka yang sangat lemah.

Apa pun nama Farez akan terakam dalam sejarah AF2014 apabila mengucapkan selamat tinggal semalam. Tamatlah sudah perjuangan anak muda yang berusia 19 tahun itu.

Farez diumumkan sebagai pelajar lelaki pertama yang tersingkir dengan peratusan undian sebanyak 2.8 peratus.

Dengan tema ‘Hits Fantasia’, Farez atau nama sebenarnya Muhammad Fareezuan Adnan telah menyampaikan lagu Awan Nano nyanyian asal oleh juara Akademi Fantasia 7 iaitu Hafiz Suip.

Pelajar yang mencatatkan undian tertinggi adalah Azwan, sebanyak 26 peratus diikuti Firman (15.86 peratus) dan Aman (10.34 peratus).

Konsert ketiga AF2014 juga dimeriahkan dengan persembahan juara-juara AF yang lalu iaitu Mawi, Zahid, Faizul, Mila dan Hazama pada permulaan konsert itu.

Selain itu, pelakon Izzue Islam turut hadir memberikan kejutan buat Ziha yang meminati aktor tersebut dengan menjadi ‘model’ semasa pelajar tersebut membuat persembahan.

Sementara itu, selain Ramli, Raja Azura turut bertindak selaku juri tetap manakala pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi sebagai juri jemputan.

Penyingkiran Farez diumumkan oleh hos Zizan Razak dan Faizal Ismail.

Dengan penyingkiran Farez itu, kini tinggal 10 pelajar yang akan meneruskan perjuangan mereka sehingga bergelar juara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");