Laporan Eksklusif

Kuasai bahasa Inggeris tingkatkan ilmu – Dr. M

PUTRAJAYA 29 Sept. – Para pelajar diseru menguasai bahasa Inggeris dalam usaha meningkatkan pengetahuan memandangkan kebanyakan penulisan dalam pelbagai cabang ilmu hari ini ditulis dalam bahasa tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan seseorang individu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan pada masa ini disebabkan ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris.

“Rata-rata tulisan dan hasil kajian ditulis dalam bahasa Inggeris dan sekiranya gagal menguasai bahasa itu, kita tidak boleh membaca karya-karya hebat berkenaan.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak sekolah mengajak pelajar masing-masing untuk membaca tiga buku bahasa Inggeris dalam masa setahun dengan pemantauan oleh guru-guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Literasi Maklumat anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Timbalan Pengarah PNM, Nafisah Ahmad.

Dr. Mahathir memberitahu, bahasa Inggeris kini sudah menjadi bahasa global kerana setiap masyarakat antarabangsa berkomunikasi antara satu sama lain dalam bahasa tersebut.

Ujarnya, tanggapan bahawa mempelajari bahasa Inggeris boleh melunturkan identiti sesuatu bangsa perlu ditolak kerana pemikiran itu dilihat tidak relevan dan realisitik.

“Sejak zaman kanak-kanak, saya bertutur dan belajar bahasa Inggeris, tetapi ia tidak sekali menjejaskan identiti saya sebagai orang Melayu sehingga hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menjelaskan penguasaan ilmu yang pelbagai adalah amat penting dalam menentukan kesinambungan sesuatu tamadun.

Katanya, penguasaan ilmu boleh diperoleh menerusi pembacaan dalam pelbagai bidang seperti agama, sains, tenologi dan matematik.

“Dalam Islam pun digalakkan membaca (Iqra’) tetapi bukan hanya yang berkaitan agama Islam sahaja malah lebih luas merangkumi bidang-bidang lain,” katanya yang juga Ikon Membaca Kebangsaan.

Beliau kemudian merujuk pada abad ke-15 apabila terdapat fatwa yang menyatakan ‘Iqra’ hanya untuk membaca mengenai Islam sahaja menyebabkan umat Islam pada ketika itu menolak ilmu lain.

“Pada zaman itulah bermulanya kemerosotan tamadun Islam sehingga kini, menyebabkan umat Islam ditindas dan dikasari, ” katanya.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");