Jenayah

Lelaki dipercayai mati dibunuh

JELI – Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di sebuah rumah di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah, dekat sini, kelmarin.

Penemuan mayat Ong Cheng Chin, 65, kira-kira jam 3 petang dalam keadaan tertiarap dan dibaluti selimut tebal itu sekali gus merungkai misteri bau busuk dari rumah sewa berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Pemilik rumah yang juga orang pertama menemui mayat mangsa, Abdul Ghani Ibrahim, 75, berkata, dia memecah masuk kediaman itu selepas mendapat aduan seorang jiran mengenai bau busuk dari rumah berkenaan.

“Saya sedang tidur di rumah apabila didatangi seorang jiran yang mengadu terhidu bau busuk sejak beberapa hari lalu dari rumah yang saya sewakan kepada mangsa,” katanya, kelmarin.

Menurut Abdul Ghani, dia kemudian bergegas ke rumah sewa itu bersama seorang anaknya, Rosli, 35, untuk memeriksa punca bau busuk berkenaan.

“Apabila sampai, saya dapati pintu utama berkunci dari dalam dan pintu dapur pula dikunci dari luar dengan mangga yang saya terpaksa umpil untuk masuk ke dalam rumah.

“Saya temui mangsa dalam sebuah bilik dengan tangan dan kaki diikat dengan tali nilon serta dibaluti selimut, lalu menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat ini,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, mangsa dikatakan bekerja sebagai pengusaha balak di sebuah syarikat pembalakan di Kandek, dekat Dabong, Kuala Krai.

“Mangsa berasal dari Kuala Lipis, Pahang dan rakannya menyewa rumah ini dengan sewa RM300 sebulan sejak Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan, Yazid Yahya mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa diikat tangan dan kaki menggunakan tali hijau penambat lembu dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada hutang dan samun.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat sesak nafas kerana segumpal kain dimasukkan ke dalam mulutnya dan mulutnya diikat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");