Sukan Hari Ini

Moto2: Hafizh pungut lima mata, tamat GP Aragon di tempat ke-11

ARAGON: Hafizh Syahrin Abdullah terus tampil dengan aksi bertenaga apabila berjaya memungut lima mata selepas menamatkan perlumbaan Moto2 Grand Prix Aragon di tempat ke-11, semalam.

Pada perlumbaan di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, itu, Hafizh yang menunggang jentera Kalex mengalami sedikit kesukaran pada awal perlumbaan selepas bermula dari petak ke-17.

Begitupun, pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu bijak menggunakan peluang untuk memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan sebelum berjaya menamatkan perlumbaan 21 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 40 minit 37.239 saat.

“Saya gembira dengan keputusan hari ini namun jika tidak ada masalah pada awal perlumbaan, saya yakin dapat mencatat keputusan lebih baik. Beberapa pelumba mengalami kemalangan dan pada masa sama saya perlu mengelak daripada terlanggar mereka.

“Selepas sedikit ketinggalan, saya terpaksa mengejar ramai pelumba di hadapan dan berpuas hati dengan keputusan ini. Tinggal baki beberapa pusingan saja lagi selepas ini, saya meletak sasaran untuk mencatat keputusan lebih baik,” kata Hafizh.

Juara menjadi milik Maverick Vinales (Paginas Amarillas HP40) dengan masa 40’16.321s diikuti Esteve Rabat (Marc VDS Racing), 40’17.606s dan Johann Zarco (AirAsia Caterham) ketiga, 40’21.197s.

Hafizh yang juga pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu kini berada di tangga ke-19 keseluruhan dengan mengumpul 34 mata.

Pelumba Sepanyol, Rabat mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 278 mata.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara dalam kelas Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman yang beraksi bersama pasukan Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.

Pada kelas Moto3, penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Ongetta-AirAsia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 untuk mengutip satu mata.

Manakala seorang lagi penunggang negara, Amirul Hafiq Azmi yang beraksi bersama pasukan SIC-AJO KTM di kedudukan ke-19.

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");