Jenayah

Musibah hilang kad pengenalan

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kawalan kualiti sebuah kilang terkejut apabila hasrat untuk membeli kereta gagal selepas pihak bank memberitahu permohonan pembiayaannya tidak layak kerana dikaitkan dengan hutang tidak dibayar.

Mangsa, Adam Bachok, 27, mendakwa masalah itu mungkin berpunca daripada kad pengenalannya yang hilang sejak 10 tahun lalu dan digunakan individu lain untuk membuat pembelian sebuah alat keselamatan kereta pada 2007.

Menurutnya, dia mula menyedari masalah berkenaan pada Ogos lalu apabila mahu membuat tukar beli kereta sedia ada kepada jenis yang lain di sebuah pusat jualan kereta terpakai.

“Sebelum ini, pinjaman kereta yang saya beli diuruskan oleh kawan saya dan dia yang tolong agar permohonan saya dengan pihak bank diluluskan. Tetapi kali ini semasa saya memohon bank untuk nama saya sahaja, tidak lulus kerana pihak bank memberitahu saya menjadi penjamin untuk pembelian satu barang yang tidak dibayar.

“Saya bingung kerana tidak pernah jadi penjamin untuk mana-mana pihak dan apabila saya semak maklumat tersebut, saya dapati ia adalah pembelian alat keselamatan kereta dengan syarikat di Kuala Lumpur, tujuh tahun lalu,” katanya semasa memberi aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Persekutuan, Jason Teoh Seow Hock di Kelab Media Cina, di sini, semalam.

Adam berkata, sejurus mengetahui perkara itu, beliau terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan menghubungi kembali pihak syarikat terbabit.

“Syarikat itu beritahu hanya dua cara untuk saya selesaikan masalah itu iaitu sama ada mencari individu yang membuat pinjaman itu atau membayar tunggakan hutang terbabit. Jadi, berdasarkan maklumat yang ada, saya telah beberapa kali menghubungi individu terbabit, tetapi gagal.

“Saya turut bertanya kepada pihak syarikat jika benar saya menjadi penjamin atas pembelian itu, mengapa saya langsung tidak menerima sebarang dokumen berkaitan. Malah ketika tahun 2007 semasa pembelian dibuat, saya masih belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru,” katanya.

Dia kini semakin khuatir jika mahu membuat sebarang pinjaman dengan pihak bank kerana pasti namanya telah disenaraihitamkan dan mungkin identitinya digunakan pihak lain untuk urusan lain.

Sementara itu, Jason yang juga Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah berkata, pihaknya akan mengutarakan permasalahan ini kepada Bank Negara dan syarikat berkenaan untuk mengesahkan bahawa Adam pernah kehilangan kad pengenalan dan langsung tidak terlibat dengan pembelian alat berkenaan.

“Kita minta pihak polis juga menyiasat perkara ini. Individu yang bernama Sumanjo Sukatno, 28, yang menggunakan identiti Adam sebagai jaminan untuk belian alat tersebut diminta tampil untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");